Tuesday, December 2, 2008

Korban dan puasa arafah

Assalamualaikum...

> Those who listen to the Word, and follow the best (meaning)
> in it:
> those are the ones whom Allah has guided, and those are the
> ones
> endued with understanding. Az-Zumar 39:18

> 1. Apakah hukum dan pentingnya korban terhadap individu?

Adapun dasar Korban sebelum ijmak adalah firman Allah, bermaksud:
"Maka dirikanlah solat kerana Tuhan mu; dan berkorbanlah." Al-Kautsar:2
Menjuruskan kepada wajib nya solat dan berkorban. Mungkin pada gologan anti hadis, seharusnya dia berkorban setiap tahun, selari dengan suruhan Allah untuk mendirikan solat dan berkorban.

Secara jelas ayat quran memberi satu arahan untuk kita solat dan berkorban, maka apakah dalil kita yang secara semborono mengatakan ianya sekadar sunat, buat- dapat pahala, tak buat- tak apa, tanpa ada sandaran dan dalil? Maka disinilah sebabnya angah mengajak kita bermuzakarah.

Pengakuan yang menyatakan korban itu wajib, tertolak oleh sunat adalah kerana Hadis At-Tirmizi, Nabi s.a.w bersabda;
"Saya disuruh menyembelih korban, dan korban itu sunat bagi kamu."

Begitu juga Hadis Ad-Daruquthni;
"Diwajibkan kepadaku berkorban, dan tidak wajib atas kamu."

Jelas dalil yang ada dari quran seolah-olah wajib, namun Nabi s.a.w menjelaskan ianya sunat. Ini menunjukkan bahawa sungguh pun korban sunat tetapi ia teramat dituntut atas setiap muslimin dan muslimat.

Imam Malik r.a berpendapat ianya wajib, Abu Hanifah r.a mengatakan wajib korban atas orang yang bermukim di negeri yang kaya lagi berkemampuan.
Sedang dalam satu aliran Shafie meletakkan korban sebagai sunat khifayah. Sebagai contoh, didalam setiap keluarga memadai korban dilakukan oleh seorang, begitu juga dalam satu taman perumahan, kampung, bandar hatta tidak salah seseorang pemimpin melakukan korban untuk hamba rakyatnya. Berbeza dengan Fardu Kifayah, jika dibuat terlepas dosa dan jika tinggal semua mendapat dosa,- Sunat Kifayah, jika dibuat mendapat pahala dan jika tinggal tidak mendapat dosa tetapi mendapat cela.

Pantasnya pada mereka yang berkemampuan, ibadah korban sebenarnya adalah teramatttt dituntut, setidak-tidaknya dilakukan oleh seorang dari satu-satu keluarga. Kita juga boleh melakukan korban untuk orang lain, sebagai contoh anak melakukan korban atas nama ayah sebagai "hadiah" dengan itu juga dapat melepaskan hukum sunat kifayah atas keluarga siayah jika anak tadi masih belum berkeluarga. Jika anak itu sudah berkeluarga, boleh lah dia menyuruh lain-lain anggota keluarga melakukan korban, contohnya si isteri melakukan korban sebagai melepaskan sunat kifayah pada semua anggota keluarganya.

Cuma perlu diingat, melakukan korban atas nama ayah dan keatas oleh seorang anak, perlu mendapat izin penama, sebaliknya melakukan korban untuk anak dan kebawah tidak perlu mendapat izin mereka.

Wallhua'lam

> 2. Adakah puasa sebelum hari raya haji, jika ada bila?

Dipetik dari Fikh Sunnah- (Syed Sabiq bab puasa Arafah, Jilid 5 m/s 187 edisi melayu Victory Agencie.)

Rasullullah TIDAK berpuasa pada hari Arafah. Baginda pernah mengatakan Hari Wukuf, Hari Nahar dan hari Tasyriq adalah hari raya, dan ia adalah hari makan minum.

Pun begitu, terdapat pula anjuran baginda kepada umat islam untuk berpuasa pada hari arafah. Kebanyakan ulamak mengambil alasan sebagai berbukanya pada hari arafah adalah khas untuk orang yang mengerjakan haji, hikmahnya ialah untuk kuat berdoa dan berzikir, sedangkan pada orang yang tidak menunaikan haji, adalah dianjurkan berpuasa pada hari itu.

Antara fadhilatnya;
Ditanya kepada Rasulullah s.a.w. berhubung puasa pada hari Arafah, maka
Rasulullah s.a.w. bersabda; “Berpuasa pada hari Arafah menghapuskan dosanya setahun sebelum dan setahun selepas”. Riwayat Muslim


Anjuran berpuasa ini adalah untuk hari arafah, juga dikenali sebagai hari wukuf yang bertarikh 9 zulhijjah ie, sehari sebelum hari Nahar aka Hari Raya id Adha, aka 10 zulhijjah.


> 3. Mengapa ada yang tidak suka kita berpuasa sehari sebelum
> hari raya
> haji pada tahun lepas, adakah tahun ini tidak boleh juga?

Senario tahun lepas, majlis fatwa Malaysia telah menetapkan bahawa tarikh penentuan masuknya Zulhijjah adalah dengan melihat hilal. Seperti kebiasaan anak bulan telah tidak kelihatan pada 29 zulkaedah oleh itu kita perlu melengkapkan bilangan hari bulan kepada 30hari, sedangkan kerajaan Saudi telah menetapkan 1hb Zulhijjah sebelum nya lagi. Maka terjadilah keadaan kita telah lewat 1 hari. Natijah kepada keadaan ini, hari arafah atau wukuf yang berlangsung pada 9 zulhijjah di saudi adalah bersamaan dengan 8 zulhijjah di Malaysia (kerana tidak nampak hilal pada petang 29hb Zulkaedah yang lalu). Oleh itu, 9 zulhijjah di Malaysia sebenarnya adalah Hari Raya di Saudi. Inilah yang dipertikaikan orang.

Setelah diselidiki dan dikaji, angah dapati terdapat dua pendapat dalam masalah ini. Ianya bersangkutan dengan hadis “AL-HAJJ ARAFAH”
dan IBADAT PUASA SUNAT 9 ZULHIJJAH.

Muzakarah jawatankuasa fatwa kali ke 30 pada 20hb ogos 1992 menggariskan;
"Kaedah penetapan Aidil Adha di Malaysia yang berdasarkan tarikh hari wukuf di Arafah dipinda kepada kaedah rukyah anak bulan Zulhijah kerana kaedah rukyah anak bulan Zulhijjah lebih sesuai diamalkan di negara ini".

Mufti Johor Dato’ Haji Nooh bin Gadut mengutarakan satu pekeliling menegaskan kebenaran untuk berpuasa pada 9 Zulhijjah untuk kita yang tidak mengerjakan Haji dan berada diluar negara Saudi, dengan hujah yang panjang lebar, tanpa mengira bila hari wukuf di Arafah. Ringkasnya sunat berpuasa itu ialah berpuasa pada 9 zulhijjah. Oleh itu jika kita telah terlewat satu hari kerana tidak nampak hilal, maka berpuasalah pada 9 Zulhijjah tempat itu. Beliau juga menegaskan bahawa "Tindakan menyambut Idul Adha tidak mengikut tarikh yang ditetapkan oleh pihak pemerintah adalah menyalahi Fasal 9, Enakmen Kesalahan Jenayah Syar’iyyah 1997 Negeri Johor dan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit (RM3000.00) atau
dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya sekali. (heheh dahsyat...)


Segologan yang lain pula berpegang secara rigid (dan ada kebenarannya pendapat ini) iaitu, yang disuruh berpuasa itu adalah pada hari wukuf. Wukuf itu hanya berlaku di Arafah, dan hanya satu Arafah sahaja dalam dunia ini, maka hari Arafah itulah yang perlu kita ikut. Maknanya jika hari wukuf itu hari Ahad, seperti tahun ini, maka hari Ahad lah kita puasa. Bukan lagi mengikut tarikh falak. Iaitu sekiranya tahun lepas wukuf adalah pada hari Rabu, sedangkn kita masih 8 zulhijjah, maka berpuasalah kerana kita berpuasa sempena hari wukuf, sedangkan 9 zulhijjah dimalaysia adalah sebagai hari syak- haram berpuasa.


Kesimpulan penghujahan angah, berkorbanlah jika mampu, mampu bukan bermaksud jika ada lebih budget, kerana dikatakan berkorban itu terlebih baik dari pada benda yang paling diperlukan disaat memerlukan...angah sendiri pun tak pernah buat lagi. Berkorbanlah semoga kita terlepas sunat kifayah dan dapat menaikkan syiar islam.

Berpuasalah pada hari ahad mendatang ini, kerana tidak seperti tahun lepas, tahun ini kita boleh berpuasa tanpa ada khilaf atau syak.

WallhuA'lam

Tuesday, November 18, 2008

Yoga

Assalamualaikum wbrkth.
Dengan nama Allah yang maha pemurah dan maha penyayang.

Lewat beberapa minggu yang lalu Cik Kiah ada usulkan topik Yoga. Sewaktu itu angah masih berada di Dubai, dan justru persoalan yang dibawa angah secara peribadi lebih berat kepada usul fikh bahawa segala cara itu harus selagi tiada pengharaman syarak.
Hanya sewaktu dalam pesawat ke KLIA baru angah dapat baca surat khabar dan fahamlah akan perkara yang sebenarnya "bergelora" melanda Malaysia. Turutan daripada itu, kononnya fatwa tentang Yoga akan keluarkan dengan kadar segera iaitu sepatutnya pada Jumaat 7hb November kalau tak salah, dan kini setelah hampir tiga minggu sejak sensasi ini keluar, majlis fatwa terus membungkem.

Dalam tempoh masa itu juga angah telah meneliti lebih detail tentang topik ini, maka setelah ditimbang cara dengan segala bahan rujuk yang termampu angah capai yang tentunya terbatas, ingin angah merubah pendirian kepada "seeloknya jangan lah berYoga". (Kalau diberi kuasa kepada diri angah, boleh lah dibaca sebagai Haram beryoga).

Berikut adalah penghujahan saya.

1. Tidak ada sesiapa pun yang dapat menangkis bahawa Yoga itu berasal dari agama hindu. Lantas segala jurus dan pernafasan adalah turutan dan urutan falsafah dalam Veda dan segala kitab hindu terutama dari Upanishads danPuranas.

2. Orang hindu amat berbangga dengan Yoga mereka, kebanggan yang membawa kepada ketaksuban Yoga came from the devine force. Satu tahap "ketenangan jiwa" yang mampu dicapai oleh seluruh manusia dan tidak terikat dengan mana-mana agama teknik yang pada orang hindu dicipta oleh mereka.

3. Angah lebih tertekan apabila terbaca diruang pendapat pembaca star dan NST, rata-rata orang islam menghentam pengharaman Yoga, sebelum Yoga itu diharamkan. Ada yang terlalu sombong hingga terserlah kebodohannya sanggup menulis "Yoga help me to be more "KUSYUK" in my solah". Fikiran orang jahil agama ini telah menggambarkan seolah-olah Nabi s.a.w telah salah ajar atau tidak tahu ajar cara-cara bersolat sepatutnya kepada kita. Ternyata yoga dalam solat adalah bidah yang sesat dan menjurus kepada neraka in express way...semoga hamba Allah itu sempat bertaubat.

4. Setelah dibuat penelitian barulah angah sedar bahawa majlis fatwa Mesir adalah antara badan yang mula-mula mengeluarkan fatwa haramnya yoga.Asasnya : Setiap sesuatu jenis "sukan" adalah halal asalkan ianya tidakmengandungi unsur kemungkaran. Merujuk kepada YOGA pula, ia mengandungi unsur peribadatan dan pendisplinan rohaniah yang ada kaitan dengan keugamaan dan justeru itu ulamak-ulamak Islam seperti Al-Syeikh Yusof Al-Qaradhawi memfatwakan ianya HARAM. Diberitakan bahawa dahulu negara Mesir terdiri dari 99% islam dan 1% kristian kini telah lahir bibit-bibit generasi muda yang cenderung kepada hindu.

5. Dari Majlis Ugama Islam Singapura:"Mengenai hukum Yoga, kebaikan yang ada adalah sedikit iaitu berupa senamanberbanding dengan keburukan yang ada yang lebih besar yang berupa syubhah ibadah yang boleh menjejaskan kepercayaan dan keimanan individu Islam. Seseorang itu perlu ingat bahawa terdapat banyak lagi cara-cara lain sebagai senaman yang boleh digunakan yang tidak kurang kesan kesihatannya jika dibandingkan dengan senaman Yoga. Sebagai yang dijelaskan dalam kaedah Fiqh, menolak keburukan adalah diutamakan daripada menarik kebaikan?

Setelah diteliti dan dihalusi, ternyata Yoga itu adalah satu "senaman" yang halus dan lembut. Oleh yang demikan teramat mudah jika mahu, segala unsur kehinduan dapat disebarkan tanpa disedari oleh pengamalnya sendiri. Apalagi jika ketika itu sedang mengalami keadaan "minda separa sedar" walau tidak sampai ketahap "bersawai".

Menyentuh perkataan "minda separa sedar" keadaan seperti ini jugalah yang menjadi "gula-gula" kepada pengamal sesetengah aliran tasawuf dalam ratib dan suluk yang difatwakan sesat. "Ketulenan" jatidiri semulajadi untuk menjadi insan kamil tanpa sandaran Islam mampu menjadikan Yoga sebagai wadah atau alat serangan saraf yang amat berkesan terhadap umat islam yang lemah akidah dan tauhid nya, keadaan ini amat merbahayakan.

Mungkin ramai yang beralasan bahawa "saya hanya bersenam, akidah dan iman saya tetap". Syukurlah buat masa ini tuan dan puan masih mantap, tetapi soalnya sampai bila dan bagaimana dengan orang lain yang mungkin telah terhakis sedikit demi sedikit imanya?

Setidak-tidak dan "sekecil-kecil" keburukan pasti akan sabit jika masih mengamalkan Yoga adalah berdasarkan hadis Nabi dibawah ini,
Abdullah bin Umar r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: (maksudnya) ".. Sesiapa yang menyerupai suatu kaum, maka dia termasuk dari kalangan mereka." –Hadis riwayat Imam Abu Daud (Kitab al-Libaas, hadis no.3512) dan Imam Ahmad (Musnad al-Muktsirin minal-Sahabah, hadis no.4878)

Soalnya sekarang, mengapa pihak majlis fatwa tertunda-tunda dari mengeluarkan fatwanya? Mungkin juga Pak Mufti telah pun mencapai kata sepakat tetapi ada "kuasa-kuasa" yang mengarahkan fatwa yang sebenar dari tersebar.
Apapun angah tidak heran jika yoga masih berleluasan walaupun (jika) majils fatwa sealiran dengan pendapat yang mengharamkan yoga, kerana begitulah Malaysia, fatwa dan syariah hanya lah sekadar simbolik negara islam, hakikatnya kehidupan dan kejahilan telah kian bersatu sebagai simbiosis menuju kehancuran.

PERINGATAN: Penulis hanya melahirkan pandangan dari pembacaan dan kajian rambang yang tidak formal. Ianya adalah pendapat peribadi semata-mata tanpa landas ilmu agama yang formal. Penulis adalah anak didik sistem pelajaran sekular 100%. Bertanyalah kepada yang layak.

WallhuA'lam
tuantaip@blogspot.com

Tuesday, November 11, 2008

Umrah 2008

Ini kali pertama aku ke Jeddah untuk tahun ini. Telah sekalian kali aku memohon, tapi baru ini lah aku diterima melawat oleh Allah yang esa. Mungkin lawatan terakhir aku ke kota Mekah tidak begitu "disukai" oleh Nya. Aku pasrah dan menyesal. Secara jujur aku katakan, memang lawatan terakhir ku ke Kota Mekah tahun lalu sungguh mendukacitakan. Namun kali ini aku berazam tidak akan lagi mengulangi laku yang sedemikan.

Pesawat tiba agak lewat kali ini. Maghrib masuk sewaktu kami meninggalkan ruang udara Bombay menghala ke Oman. Sebaik sahaja kami dapat berhubung dengan pihak Muscat, aku terus kebelakang untuk bersolat maghrib. Aku fikir biar aku selesaikan semua solat ku sebelum mendarat, tentu urusan aku ke Mekah menjadi lebih mudah.

Kira-kira 45mint sebelum mendarat, pesawat melepasi kawasan miqat ihram. Disini menandakan bermulanya ihram seorang hamba dalam niat berumrah. Tapi sekali lagi aku masih tidak mampu berihram, apa pun ini semua kerana tugas, dan kerana tugas juga aku akan menjejakkan kaki di tanah keramat ini.

Shore pass telah pun didapati dan seperti biasa passport ku terpaksa diserahkan kepada pihak Saudi. Aku tak banyak soal, melainkan terus mengikut arahan bodah dan berubah-ubah pihak berkuasa Saudi. Niat ku hanya satu, untuk ke Mekah malam ini juga.

Ihdinossiro tulmustaqim fil fonduk..kata ku kepada pemandu bas sembil aku duduk disebelahnya. .. Ketawa besar pak arab itu. Aiwa!! katanya...Yallah...yallah...kata ku. Segala perbualan aku dengan pemandu bas itu nampak rancak tetapi hakikatnya seperti itik dengan ayam. Yang lain didalam bas hanya tergamam mungkin heran kerana menyangka aku benar-benar berinteraksi dengan pak arab itu.

Sesampai di hotel, aku terus betanya tentang kain ihram, dukacita sekali lagi.."we have no ihram for tonight sir" terdengar suara pihak house keeping. Sekali lagi aku terpaksa menyabung nyawa menyeberangi jalan didepan hotel untuk kekedai runcit bagi mendapatkan kain ihram.

Tangguh dulu...nanti sambung...

Wednesday, October 15, 2008

Mengenali sempadan Adat dan Ibadat dalam kematian

Ramadhan telah pun berlalu pergi... Episod kehidupan yang berterusan ini, membuat diri betul-betul tidak sedar akan usia yang kian tamat. Tersurat akan kisah kehidupan ku tahun ini, Ramadhan nya bermula dengan kematian dan akhirnya juga dengan kematian. Oleh itu, alhamdulillah telah sedikit sebanyak membuka mata ku tentang adat dan ibadat dalam menghadapi babak-babak kematian. Untuk memudahkan point dan turutan peristiwa, biar ku tulis segalanya satu persatu.

1. Pertama-tama perkara selepas jenazah menghembuskan nafas terakhir, perlulah kita bantu jika perlu dan pastikan mata jenazah telah tertutup. Rapatkan mulut jenazah dan jika perlu diikat dagu dan kepala untuk merapatkan mulut jenazah. Ada juga sesetengah orang akan menyuruh disapukan sendi-sendi jenazah dengan minyak, guna untuk memudahkan dan melembutkan sendi untuk dilentur dan dibetulkan anggota kepada posisi yang dihajati. Perbuatan ini juga adalah bertujuan untuk memudahkan urusan memandikan jenazah nanti. - semua perbuatan ini adalah termaktub dalam istilah menghormati jenazah.

2. Akan ada suara-suara yang menyuruh untuk meletakkan jenazah secara melunjur dengan kaki kearah kiblat. Sebenarnya tindakan ini bukan lah berlandaskan ilmu agama, tetapi lebih kepada adat dan logik akal. Hujah yang diberi adalah posisi begini, (jika boleh kita gambarkan) sebagai posisi yang jika diseru maka jenazah akan bengun terus mengadap kiblat. Peliknya ramai orang kita yang begitu sensitif untuk melunjurkan kaki kearah kiblat dengan alasan "tak baik", hatta posisi katil pun kadang-kadang menjadi isu dalam bilik tudur. Melalui pengalaman dan penelitian saya sendiri, di Masjidil Haram ramai orang yang tak kira bangsa melunjurkan kaki kearah kiblat. Berbalik kepada point kedua ini, tidaklah menjadi isu kearah mana jenazah perlu diletak, kerana ianya tidak tersebut dalam kitab agama. Maka itu, jangan lah menjadikan perkara remeh ini alasan untuk bertikam lidah disamping jenazah.

3. Mandi Gabah atau Mandi Gabas. Ianya juga satu istilah yang tidak terjumpa dalam kitab fikah yang pernah saya baca.(Pun begitu, perlu saya tekankan bahawa tidak lah banyak mana pun kitab fikah yang saya sudah baca, dan jika ada tercatit dimana-mana harap dapat kongsi bersama). Mandi Gabas adalah satu proses untuk membersihkan jenazah. Ianya adalah selari dengan istilah menghormati jenazah, kerana jika jenazah itu masih najis ianya seolah-olah diabaikan oleh ahli keluarga atau orang sekeliling, kerana kita semua tidak mahu lama menanggung najis, begitulah juga sifatnya atas jenazah. Jenazah boleh menaggung najis disebabkan air kencing atau najis yang keluar sewaktu nazak, apabila tercabut nyawa dan juga setelah beberapa ketika kematian. Ini berlaku kerana begitulah peritnya apabila nyawa tercabut dan juga disebabkan sistem badan yang telah tidak berfungsi lagi. Sebetulnya proses ini tidak perlulah dilaksanakan mandi seperti "mandi" yang kita fahami. Ini kerana ianya akan membebankan orang hidup disamping dibimbangi "menyakitkan" jenazah, walaupun mungkin akan ada suara-suara yang berkeras mahu dilakukan mandi yang sebenar. Sebaliknya ianya cukup dengan membersihkan kedua jalan keluar najis jenazah dengan air, kain basah atau wipes sahaja untuk menghilangkan zahir najis.

4. Menutup atau menterbalikkan gambar-gambar makhluk juga cermin-cermin yang digantung atau yang terdapat didalam rumah yang ada jenazah. Perbuatan menutup gambar-gambar makhluk, pada saya adalah perbuatan yang hipokrit dan tidak berasas sama sekali. Ianya juga tidak termaktub dalam kitab fikah malah lebih kepada adat dan logik orang dahulu kala. Perbuatan tanpa dalil dan penerangan ini sering disalah ertikan oleh orang ramai sebagai menghormati jenazah, malah ada yang berpendapat, takut-takut nanti roh simati memasuki gambar-gambar yang ada. Hujah yang paling kuat yang saya dapat sandarkan kepada islam adalah, sememangnya gambar-gambar makhluk tidak digalakkan malah diharamkan untuk digantung didinding-dinding rumah (bergantung kepada jenis gambar dan fahaman individu). Oleh itu, tidak lah manis disaat jenazah kelak akan disoal, jumahnya dipenuhi dengan bahan-bahan yang tidak disukai Nabi. Itulah sebabnya saya katakan, ianya adalah satu perbuatan hipokrit (baca munafik) seseorang yang menurunkan, menutup atau menterbalikkan gambar dirumah yang terdapat jenazah, tetapi membetulkan nya semula selepas jenazah selesai dikebumikan. Sebaiknya gambar-gambar tersebut tidak digantung terus. Bagi kes cermin pula, ianya satu lagi tindakan adat yang tak berasas malah boleh membawa fahaman karut akan mengapa cermin perlu diterbalikkan selagi jenazah berada didalam rumah. Pendapat liar ini terus menular dizaman moden ini hinggakan pernah saya terjumpa, peti TV juga ditutupi dengan kain batik. Ianya ternyata dan jelas pendapat yang tak berasas.

5. Dibakar kemiyan atau bau-bauan. Tidakkan ini ada baiknya malah bergantung kepada keadaan jenazah mungkin ianya amat-amat baik. Ini kerana kadang-kadang ada jenazah yang berbau, seperti mana juga manusia hidup ada bau badannya. Kadang-kadang bau yang ada adalah sedikit hamis dan sedikit meloyakan, dengan adanya bau keminyan atau bau-bauan ini insyaAllah dapat memberi sedikit keselesaan pada yang hidup dan dapat juga menutup aib simati. Tetapi amat malang pula, masyarakat kita telah diracuni akan bau keminyan dengan cerita-cerita seram atau pemujaan, tetapi ketahuilah hakikat asalnya untuk kebaikkan.

6. Bacaan ayat quran disisi jenazah. Ada pendapat yang mengatakan elok jika dapat dikahatamkan sebuah Quran disisi jenazah, malah ada pula yang sambung menyambung apabila berganti pembaca . Hakikatnya bacalah apa-apa surah atau ayat disisi jenazah semoga ada kebaikkan keatas jenazah mahupun orang yang membaca itu sendiri. Tidak perlulah dicipta satu kemestian kifiyat bacaan quran untuk jenazah kerana bimbang akan disangka ajaran Nabi oleh orang ramai.

Sekian buat masa ini...ada sambungannya...jari dah letih nak taip.

Friday, September 26, 2008

Perancangan Tuhan

Hati ku benar-benar resah. Pesawat aku pasti akan lambat tiba di KLIA. Bagaimana perancangan yang sudah dibuat? Pasti tetamu ku akan berbuka dirumah ku tanpa kehadiran aku. Frust betul kalau sesuatu benda yang kita dah plan elok-elok, terancam oleh sesuatu perkara yang sememangnya luar kalawan kita.
Akhirnya pesawat aku bersedia. Semua sistem dan dokumen telah lengkap, akhirnya pesawat meluncur laju dan terbang kira-kira 55 minit lewat dari jadual asal. Kini aku pasrah, congakkan ku, Kunming yang jauhnya kira-kira 3jam setengah perjalanan ke Kuala Lumpur, dah tentu aku akan tiba pada pukul 6:30 petang paling awal. Kalau nak kejar ERL 6:50 teramat lah mustahil.

Aku tiba lewat, tanpa menunggu lama, aku terus keluar pesawat untuk proses imigeresen. Pada hati ku berkata, "sudah lah...tak perlu terkejar-kejar lagi. Memang plan dah hancurrr."
Aku menjeling kearah jam besar yang ada. Kira-kira 5minit lagi untuk berbuka. Dalam beg ku hanya ada sebotol air mineral dari China, aku perlu mencari sedikit tamar, untuk mendapat sunnah. Untung ada Bazar Ramadhan KLIA, kedai pertamanya menjual kurma.

Kurma yang ada hanyalah dijual secara kotak, dan yang paling murah berharga RM10.60. Mak datuk mahalnya kurma KLIA ni. Setelah diteliti aku rasa, nak tak nak, terpaksa juga aku beli kurma kotak yang mencekik darah itu.

Aku meninjau sekeliling . Terlihat aku kepada susuk tubuh seorang tua yang sedang duduk tunduk disatu sudut. Serban yang dililit rapi dengan baju biru nampak jelas ketokohan seorang muslim. Aku menghampiri orang tua itu lalu memberi salam.

"Assalamualaikum Haji", kata ku. Dia menjawab salam ku.
Sambil menghulur tangan, aku berkata "Mari kita berbuka sama".
"Alhamdulillah.."kata orang tua itu.
"Saya sebetulnya tak tahu apa nak berbuka dekat sini, saya tak biasa. Saya serah saja pada Allah". Jernih muka orang tua itu.
"Tak pe lah Haji, kita makan apa yang ada". Jawab saya sambil membuka pembungkus plastik kota kurma tadi.
"Allah telah hantar Tuan kepada saya dan tuan akan dapat pahala sama seperti pahala puasa saya tanpa mengurangkan sedikit pun pahala saya", tambah orang tua itu lagi.
Terfikir saya betapa ralatnya saya kerana pada tahun ini, tidak seperti tahun-tahun yang lalu, saya tidak sempat menghadiahkan kurma pada guru-guru agama saya.
"InsyaAllah" jawab saya ringkas. "Seminit lagi berbuka" tambah saya.

Waktu maghrib pun tiba, kami berbuka kurma sahaja. Saya memberi orang tua itu botol air mineral yang ada dan menyuruh nya minum kerana gelas tidak ada lagi pun rumah saya tidak begitu jauh lagi.

Masa terlalu pantas berjalan, saya harus pergi. ERL akan berangkat jam 720mlm dan saya tidak mahu terlepas kerana tetamu pasti menunggu dirumah. Saya minta diri dan bersalaman dengan orang tua itu. Entah mengapa, hati saya benar-benar ingin bertemu lagi dengan orang tua itu, lalu saya meminta izin untuk menghubungi nya lagi dilain waktu, tetapi masalahnya bagai mana cara saya.....(masuk waktu asar)...bersambung

Mencari LailatulQadar

Berkata sekumpulan ulamak berdasrkan pemerhatian dan pengamatan mereka seperti yang disebut oleh Imam Al Ghazali, sekiranya permulaan puasa jatuh pada hari Ahad atau Rabu maka Lailatulqadar ialah pada hari yang ke-29.
Jika bermula puasa pada hari Jumaat atau Selasa, ia jatuh pada hari ke-27.
Jika permulaan puasa pada Khamis, Lailatulqadar berlaku pada 25 Ramadan.
Jika awal puasa pada Sabtu maka Lailatulqadar jatuh pada hari ke-23 dan
Jika awal puasa pada Isnin, maka Lailatulqadar jatuh pada malam yang ke-21. Demikianlah kaedah yang diguna pakai oleh sebahagian ulama termasuk Imam Abul Hasan r.a. Tegas beliau: Aku tidak pernah terlepas malam Lailatulqadar tersebut dengan menggunakan kaedah ini''.

Kita tidak ingin membahaskan kesohihan atau hukumnya berpegang kepada kaedah ini, yang pasti jika diengkari tidak menjadi kesalahan dan jika dituruti dengan niat semata-mata keranan Allah dan kebetulan pula menepati malam tersebut amatlah beruntung nya kita.

Persoalannya, sudahkah anda bermunajat sepanjang Ramadhan yang sedang berlalu ini? Banyak mana zikir dan ayat quran yang kita lafaz, sewaktu orang lain sedang asik berdengkur, banyak mana mata air kita yang telah membasahi sejadah atau yang ada hanya lah bantal busuk yang dibasahi air liur basi.

Maka disaat yang tersedak ini, cubalah kita ambil alternatif terakhir merebut LailatulQadar ini. Pastinya, tentu ada yang berpendapat, lailatulQadar sudah berlalu, kerana jika berpandu kaedah diatas jika awal puasa jatuh pada hari isnin, maka lailatulQadar akan terjadi pada malam 21, iaitu sabtu malam ahad yang lalu!!! Dah melepas...Sabar dahulu, ingat bahawa kita berpuasa pada tahun ini adalah mengikut Ulul Azmi. Sunnah nya Syaaban yang sepatutnya dilengkapkan 30 hari telah menjadi 29 hari, lalu umat islam Malaysia berpuasa pada hari syak. Ianya tidak salah sama sekali, kerana yang kita ikut adalah Hisab dan bernaung dibawah arahan Ulul Azmi.

Oleh yang demikian, ada kemungkinan nya bahawa sebetul Ramadhan adalah pada hari Selasa, yang mana jika disemak kepada panduan diatas, LailatulQadar insyaAllah akan terjadi pada malam ke 27. Malam ke 27 juga bertepatan dengan rekod paling tinggi LailatulQadar berlaku, seperti yang ramai orang melayu namakan Malam Tujuh Likur. Bilakah pula ke 27 ini? Jika dilihat pada kalander, dah pastilah malam 27 adalah pada malam ini, jika ditolak satu hari kerana jika dikira Ramadhan bermula pada hari selasa, ianya akan berlaku pada malam esok.

Apapun adalah lebih baik jika malam Ramadhan yang hanya tinggal sisa-sisa ini terus kita hidupkan, daripada ianya berlalu sia-sia. Maka dengan ini sukacita diberi tahu, subuh esok (malam 27) satu majlis Qiamullai yang akan dipimpin oleh Ustaz Badrul Amin insyaAllah akan dijalankan di surau An-Nur Syek. 1 B.B.Bangi. Jika hati kita masih keras membatu, dan airmata yang terlalu membeku untuk meratapi tempat sujud, mungkin disana akan dapat kita pelajari dan hayati zikir munajat yang akan dibawa oleh ustaz.

InsyaAllah kita kesana.

Sunday, September 21, 2008

Taskirah Ramadhan-10 terakhir

Wahai Orang-orang yang beriman...

Sedar atau tidak, sepuluh terakhir Ramadhan telah pun tiba. Satu jangka masa yang amat menggembirakan pada mereka yang sedang menanti Hari Raya, satu masa yang gentir pada mereka yang perlu menghabiskan tempahan kuih raya orang, satu masa yang orang berpusu-pusu mencari juadah dan pakaian baru untuk hari raya.Tetapi bagi mereka yang sedang dalam kelazatan beribadah, dia akan merasakan hari-hari nya semakin dipenghujugan, sedih kerana terpaksa berpisah dengan Ramadhan iaitu bulan rahmat dan maghfirah.

Berapa ramai antara kita yang sedar bahawa hakikatnya kita kini berada dipusingan penentuan, sama ada kita akan dibebaskan dari api neraka atau tidak seperti yang diceritakan oleh Nabi.

Ringkasan hadis,...Telah tiba satu bulan yang mana didalam nya akan ada satu malam yang lebih baik dari pada seribu bulan. Allah telah memfardhukan berpuasa pada bulan itu. Ibadat malam nya menjadi amalan sunat. Barang siapa yang mengerjakan satu kebaikkan PADA BULAN ITU, bagaikan ia menunaikan satu amalan fardhu pada bulan lain. Barang siapa menunaikan satu kefardhuan, bagaikan ia mengerjakan 70 kali fardhu pada bulan yang lain.

Maka itu teramat rugilah jika kita masih lalai dan leka tanpa mengambil apa-apa tawaran yang diberikan oleh Allah dan membiarkan Ramadhan kali ini berlalu begitu sahaja. Ramadhan yang hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi ini tidak patut dilepaskan tanpa menambah sedikit pun koleksi amal ibadat kita kepada Allah. Jika kita sebelum ini lupa, lalai dan leka maka dipenghujung Ramadhan ini lah peluang terakhir untuk kita.

Ingatlah apa yang diceritakan tentang kata-kata malaikat Jibril, Sesiapa yang berkesempatan dapat hidup dibulan Ramadhan, tetapi tidak mengambil langsung kesempatan dan peluang yang diberikan oleh Allah dangan ibadat, maka dosanya tak diampunkan oleh Allah, dia akan mendapat laknat dari Allah,dan jauh dari rahmat Allah. Lalu Nabi mengaminkan kata-kata Jibril itu.

Apakah kita masih yakin bahawa akan tiba Ramadhan lagi untuk kita pada tahun depan? Tidakkah kita sedar bahawa ada muka-muka sahabat-sahabat, saudara-mara rakan taulan yang dulu nya satu saf dengan kita tetapi ditarawikh kali ini mereka tidak lagi berpeluang untuk beribadat, mereka sudah pun berada dialam kubur, apakah cukup amalan mereka untuk terlepas dari siksaan kubur atau neraka Allah? Bagaimana pula kita jika dicabut nyawa sebelum sempat Ramadhan tahun depan?

Tolehlah kebelakang, apakah ibadat solat kita, dua puluh hari yang lalu diterima Allah? Apakah puasa kita menepati kehendak Allah? Apakah segala-galanya diterima oleh Allah untuk dianugerahi tauliah Takwa. Seperti janji Nya- La'allakum tattakun pada akhir ayat puasa dari Al Quran itu? Apakah kita layak menagih janji Nabi "Sesiapa yang puasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan kesungguhan, Allah akan ampunkan dosa-dosanya yang lalu!"

Mungkin kerana inilah ayat berkenaan Puasa dari Al quran dan juga taskirah ini dimulakan dengan sebutan Wahai orang-orang yang beriman. Kerana hanya mereka yang beriman sahaja yang layak dan faham akan hakikat perintah ini. Tidak keterlaluan jika kita sebut dengan Ramadhan ini tersingkaplah siapa kita sebenarnya. Adakah kita ini tergolong dalam gologan orang-orang yang beriman atau kita masih tidak beriman. Hakikatnya berapa ramai orang yang berpuasa tetapi masih tidak bersolat. Kita seolah-olah lupa bahawa puasa itu perintah Allah dan solat itu juga perintah Allah, jadi adakah kita ini sedar bahawa mungkin kitalah yang dimaksudkan sebagai orang yang hanya mendapat lapar dan dahaga? Pendeknya untuk mendapat janji-janji Allah dan keampunan perlulah kita mempraktikkan kehidupan sebagai orang-orang yang beriman.

Mudah-mudahan kita tidak tergolong dalam gologan mereka yang bodoh dan rugi itu. Semoga kita tergologan dari kalangan mereka yang bahagia dan diterima amalan oleh Allah, dan bukan diantara mereka yang celaka dan tertolak amal ibadat kepada Allah.

Berdoalah seperti yang diajar "Ya Allah, kau terimalah Puasa ku, solat ku, rukok ku, sujud ku, khusuk ku, tabaruk ku, ibadat ku dan semoga semuanya tertunai segala apa yang dituntuti".

Ingatlah bahawa sepanjang Ramadhan ini pasti, kita telah meminta keredoan Allah, Surga Allah, jauhkan dari neraka dan jauhkan dari kemurkaan Nya, setidak-tidaknya kita mengaminkan semua perkara itu dalam doa imam solat tarawikh jika pun tidak kita fahami. Tidak ada pada zahir nya kita meminta rumah besar, kereta mewah, motorsikal besar atau segala perkara keduniawi tetapi apakah tindakan dan perlaksanaan harian kita menepati apa yang kita tadah itu? Logiknya, jika syurga yang diminta seharusnya kita rajin ibadat, kerap berjemaah, tidak berbohong, tetapi nyata perlakuan kita tidak menghala kearah itu. Oleh itu sedarlah setidak-tidaknya disepuluh terakhir Ramadhan ini untuk kita beramal selari dan bersesuaian dengan apa yang kita pinta.

Sudah tiba masanya kita hentikan dahulu cerita-cerita TV yang tak keharuan, sudah tiba ketika kita buang dahulu lagu-lagu yang melalaikan, sudah tiba saat kita lupakan dahulu syair-syair cinta yang memabukkan. Sebaliknya hiaskan lah rumah dengan cahaya solat, dengan alunan ayat suci dan syair puisi cinta untuk Allah. Nabi pernah berdoa dengan doa cinta seperti ini...

"Ya Allah!
aku meminta cinta Kamu,
Berilah aku cinta orang yang mencintai Kamu.
Dan aku meminta dicintakan,
pada amalan yang mendekatkan aku pada cinta Kamu".

Pada akhir Ramadhan ini seseorang islam pasti mendapat takwa jika dia berpuasa dengan ertikata puasa yang sebenar. Oleh itu tingkatkan lah amalan kita, gunakanlah "lesen" iman yang telah dikurniakan kepada kita sejak lahir demi merebut tawaran Allah pada kali ini kerana belum tentu kita akan berjumpa lagi Ramadhan seterusnya.


Ingatan untuk diri ku jua..
(Olahan kuliah subuh Ustaz Abdullah An-Nur Bangi)

WallahuA'lam

Abu Uwis Al-Raubi
tuantaip.blogspot.com