Thursday, June 9, 2011

Qarinah dan Qazaf

Maka tiba-tiba wall facebook kita berselirat dengan sisipan video seorang Ustaz denga tajuk Penjelasan Tuduhan Zina tanpa 4 orang saksi. Saling berrangkai, pautan demi pautan, via wall sifulan kepada wall sifulan dan sifulan kepada sifulan... lagak seperti terkejut beruk sangat dengan ceramah ustaz yang mendedahkan bahawa mana mungkin 4 orang saksi menjadi tunggak kepada setiap kesalahan seks, atau lebih tepat merujuk kepada Zina dan Liwat dalam perundangan islam!!

Saya lebih suka mengkaji daripada menyebarkan- lebih-lebih lagi jika ianya sesuatu yang bersangkutan dengan perundangan yang telah termaktub dalam agama islam. Maka disini saya bawakan secara ringkas, bersesuaian dengan kapasiti saya sebagai orang awam satu catetan bersangkutan dengan hal yang disentuh dalam klip video tersebut.

Pada awal video tersebut tertulis kata-kata sebegini.." Bolehkah membuat tuduhan zina tanpa membawa 4 orang saksi, sebaliknya penuduh hanya mempunya bukti-bukti lain seperti video, gambar, air mani, DNA, pakaian dan sebagainya?" disini saya ubah, baca dan cernalah catetan saya ini secara jujur dan jawablah sendiri persoalan yang dibawa oleh tukang edit video tersebut...ingat secara jujur!!

"Ustaz" yang berceloteh pun memulakan bicara dengan mengatakan bahawa:-

Pertuduhan zina ada tiga (kaedah)..barulah boleh jatuh (hukum) sama ada nak kena hudud atau ta’zir. Pertama ada ikrar (pengakuan). Bila mengaku berzina, dia kena hudud.

Kedua. Hendaklah dikemukakan empat orang saksi. Yang adil, yang tidak fasiq, yang nampak sungguh-sungguh perlakuan zina itu berlaku.

Ketiga, seandainya tidak ada 4 saksi, ia datang dari segi qarinah (pembuktian lain). Qarinah adalah pembuktian yang tidak ada 4 saksi. Tetapi tidak boleh dihukum di bawah undang-undang hudud, (sebaliknya) dihukum di bawah undang takzir”, katanya.

Setelah kita rujuk, kita dapati bahawa Jenayah zina telah sepakat di kalangan ulama boleh thabit dari dua perkara :

a) Pengakuan daripada penzina atau Iqrar.

b) Bukti yang jelas iaitu oleh 4 orang saksi lelaki muslim, baligh, merdeka, punyai pengelihatan, boleh bertutur, tidak ditohmah sebagai pembohong dan adil. (al-Feqh al-Islami wa adillatuhu, 8/6035-6040, cet kedua, Dar al-Fikr)

seseorang sabit jenayah zina/liwat.MENUDUH-tidak ada langsung kita jumpa tentang Qarinah dalam bab

DALIL PARA JUMHUR ULAMA’:

1. Firman Allah:

Mafhum: “Maka mestilah bersaksi ke atasnya ( kes zina) dengan empat saksi daripada kamu” (An-Nisa’: 15)

2. Firman Allah:

Mafhum: “Bagi mereka yang menuduh wanita-wanita baik (dengan zina) kemudian tidak membawakan empat orang saksi” (An-Nuur 4)

3. Firman Allah SWT:

Mafhum: Hendaklah kamu bersakasi dengan mereka yang adil daripada kalangan kamu (At-Talaq: 2)

4. Sabda Nabi SAW:

Mafhum: “Empat saksi lelaki atau hukuman sebat ke atas belakangmu” (Riwayat al-Bukhari dari Ibn Abbas lihat Nasb ar-Rayah 3/306, dan Abu Ya’l al-Mausili daripada anas bin Malik)

Qarinah- hanya diterangkan kaedah ini dalam masalah jenayah zina adalah berkenaan dengan wanita (mangsa rogol) yang tidak mempunyai saksi, dia dibolehkan membawa bukti-bukti (qarinah-qarinah) terkuat mengikut cara perundangan ke mahkamah atau ke qadhi dan hakim. Ia mesti dilakukan dengan teliti agar tidak sabit hukum qazf ke atasnya. Dalam ertikata lain, (membawa bandingan cetik ustaz itu)... Jika ada seorang anak dara budak kilang (kata ustaz itu) didepan rumah kita, yang tiba-tiba besar perutnya, maka kandungan dalam perut itu menjadi Qarinah (bukti) bahawa dia telah berzina. Cantiknya perundangan islam, disini perlulah si wanita tadi membawa Qarinah (bukti-bukti) pula bahawa dia dirogol apabila disoal samada dia telah berzina yang menyebabkan dia mengandung.

Jika wanita itu didapati memang telah berzina dalam "kaedah perundangan", tetapi masih tidak mahu mengaku- maka jatuhlah takzir keatasnya. Jika dia mengaku, maka hudud lah keatasnya.

Begitu juga jika Qarinah yang dibawa oleh wanita itu menunjukkan dia telah dirogol, maka terselamatlah dia dari hukuman dan dia boleh meminta hakim memberi keadilan keatas dirinya dan menghukum perogolnya dengan Qarinah yang ada, dengan cara yang diajar oleh syarak.

Kepincangan pada klip video yang tersebar adalah, si ustaz hanya menonjolkan bahawa anak dalam kandungan itu adalah Qarinah untuk kita menuduh wanita itu berzina, tanpa usul periksa- ustaz tidak memberi ruang atau penerangan langsung tentang pembelaan nasib wanita yang mengandung itu dengan kaedah Qarinah.

Ustaz pula seperti menyindir bila mana membawa gambaran isteri jemaahnya dirogol- di gambarkan kebodohan ahli jemaah nya (juga mungkin penggemar video nya) yang tidak tahu apa yang hendak dibuat kerana tidak ada 4 orang saksi, disini saya kongsi kan kaedah terutama untuk mereka yang sedang rancak memfowardkan video itu...biar cerah sikit otak itu..

Seseorang yang mengadu dirinya dirogol, sepertimana kes-kes biasa, perlu membuat lapuran polis dan melakukan pemeriksaan doktor. Ini prosedur biasa.

Polis atau pegawai penyiasat akan melakukan penyiasatan berdasarkan lapuran dan keterangan yang diberikan. Sekiranya terdapat bukti yang kukuh bahawa kes rogol sememangnya telah berlaku, pegawai penyiasat akan menyerahkan lapuran kepada pihak pendakwa.

Sekiranya tahap kesaksian untuk pendakwaan dilakukan dalam hukum Hudud tidak mencukupi (tiada 4 orang saksi yang melihat kejadian tersebut), pihak pendakwa masih boleh mendakwanya di bawah undang-undang Takzir. Melalui peruntukan Takzir, beban pembuktian adalah lebih longgar. Pemeriksaan doktor dan keterangan-keterangan serta bukti-bukti yang dikumpulkan oleh polis ini (DNA test, lapuran

kesihatan, penilaian psychology, dll) dinamakan sebagai Qarinah. Qarinah boleh digunakan sebagai bahan bukti yang boleh mensabitkan kesalahan takzir ke atas perogol. Qarinah ini juga boleh mengelakkan mangsa rogol dari dakwaan Qazaf, kerana Qazaf merupakan kesalahan Hudud dan sebarang keraguan

yang boleh ditimbulkan (melalui Qarinah) dalam kes Hudud boleh menggugurkan kes tersebut. Hukuman Hudud boleh dilakukan ke atas seseorang hanya apabila tiada sebarang keraguan langsung (beyond any shadow of doubt). Manakala untuk kesalahan yang boleh dibuktikan secara jelas oleh Qarinah, tetapi

tidak mencapai tahap kesaksian yang diperlukan oleh Hudud, hukum Takzir boleh dikenakan terhadap penjenayah tersebut.

(Saya benar-benar berharap agar sahabat yang turut ketawa dengan lawak ustaz ini dalam masalah diatas bertubatlah- kerana anda mungkin sebenarnya mentertawakan kehendak Allah tanpa disedari...)

Merujuk kepada urutan dalam pencarian saya, sebenarnya kita akan berjumpa dengan istilah 1. Ikrar 2. 4 orang saksi 3. Qazaf dan keempat barulah Qarinah.

Jelas ulamak telah menggariskan dangan petunjuk dari Allah dan Nabi saw, sebelum kita berbicara bab Qarinah, pastikan dahulu kita faham peruntukan Qazaf dalam perundangan islam. Qazaf membawa kepada hudud, sedangkan Qarinah hanya membawa kepada takzir.

Qazaf ialah membuat tuduhan zina yang tidak dibuktikan oleh empat orang saksi lelaki terhadap seseorang Islam yang mukallaf dan dikenali sebagai seorang yang bersih diri daripada kelakuan zina. Tidak berlaku Qazaf atas tuduhan kepada pelacur atau gigolo, atau orang yang diketahui sebagai ahli zina. Islam begitu mengambil berat isu qazaf sehinggakan, dengan kata-kata seperti "engkau anak haram" atau "engkau bukan anak bapa mu.." adalah menuduh seorang ibu itu berzina dan boleh dijatuhkan hudud kepada pengucapnya- inikan pula menuduh secara terang-terangan bahawa seseorang individu itu berzina/liwat.

Seorang wanita yang mengandung anak luar nikah pun boleh dikenakan Qazaf jika menuduh seseorang itu bapa kepada anak dalam kandungannya jika Qarinah yang dibawa nya tidak kuat atau ditolak oleh mahkamah, inikan pula seorang asing yang tidak ada kena mengena tiba-tiba menuduh seseorang telah bersetubuh/liwat dengannya samada secara paksa atau sukarela.

Perlu diingat, berapa ramai pula hari ini, wanita yang berzina dengan teman lelakinya, tetapi akibat ditinggalkan teman lelaki maka mendakwa dirinya dirogol, atau terdapat juga wanita jahat yang diupah dan sebagainya, yang sengaja mahu menjerat individu tertentu maka menuduh dirinya dirogol individu sasarannya, tanpa bukti langsung. Justeru dengan adanya hukuman qazf ini, perkara ini akan terhalang.

Maka, keadilan hukum Islam ini menyelamatkan kedua-dua pihak, sama ada pihak wanita yang dicabuli (dengan hukuman hudud atau ta’zir ke atas lelaki yang mencabulinya) dan pihak lelaki (boleh disabit hanya dengan 4 saksi atau bukti yang nyata tanpa boleh dituduh sebarangan) Jelas, Islam menjaga kedua-dua belah pihak tanpa sedikitpun menzalimi mereka.

Sebagai penutup, catetan diatas adalah olahan dari pembacaan dan perbincangan saya dengan guru-guru saya. Saya mohon maaf kerana tidak dapat memberi nota kaki untuk tuan-tuan tekuni, tetapi percayalah insyaAllah, buka lah mana-mana kitab fikh pun, jika menyentuh soal zina, maka urutan nya adalah begini..

1. Ikrar

2. Saksi 4 orang

3. Qazaf

4. Qarinah

Kesimpulan..untuk jenayah zina.

1. Pertuduhan WAJIB membawa 4 orang saksi.

2. Jika menuduh seorang itu berzina dengan kaedah Qarinah kandungan, tertuduh berhak membawa Qarinah untuk membuktikan bahawa dia dirogol.

3. Jika menuduh seseorang berzina dengan kaedah Qarinah, Qazaf perlu juga dijalankan kerana hudud adalah lebih utama dari takzir.

Qazaf membawa kepada hudud, sedangkan Qarinah hanya membawa kepada takzir. Hudud adalah ketentuan Allah, dan takzir adalah ketentuan para hakim (manusia), mana mungkin dan mengapa ustaz melanggar Hudud untuk menjatuhkan Takzir?

Saya adalah orang sekular yang hanya mampu membuat rujukan dan muzakarah tanpa ada apa-apa motif politik, ianya semata-mata kerana ilmu islam, mungkin ada kesalahan pemahaman saya dalam bab ini saya mohon dibimbingi. Sedangkan ustaz yang menyampaikan kuliah adalah orang agama tetapi kita tidak pasti apa kepentingan nya atau mungkin sahaja olahan penyebar video yang telah diedit ini yang sebenarnya berkepentigan, saya serahkan pada tuan-tuan dengan penghujahan yang tak seberapa ini semoga kita terus dilindungi Allah dari fitnah akhir zaman. Dengan itu, jawablah persoalan yang mula-mula kita hadapi tadi dengan sejujurnya....

WallhuA'lam

Sebarkanlah jika ada baiknya...

(pada rakan-rakan yang kurang senang dengan tulisan saya ini, saya mohon maaf. Saya cuma merasakan ianya perlu disebarkan sebagai wadah tuan-tuan semua menilai dengan hikmah dan jujur)

Tuesday, May 31, 2011

Muhasabah Rejab, Syaaban dan Ramadhan

Tiba-tiba kita lihat kedai kain dah mula dikunjungi pembeli, tukang-tukang jahit pula dah mula meletak harga musim "hangat", dah berani meletak tarikh akhir untuk tempahan. Saudagar kuih dah mula bercita-cita, kuih itu nak dibuat tepung itu, gula ini semua dalam perkiraan.

Congak-congak, rupa-rupanya esok masuklah bulan keramat Rejab yang terus menjemput Shaaban, Ramadhan seterusnya 1 Syawal didalam kehidupan kita. Sememangnya sinonimlah dalam kehidupan kita, 3 bualn sebelum raya ini adalah bulan-bulan sibuk, sehingga kesibukan dunia itu sering kali menutup mata hati kita untuk melihat kepada hakikat disebalik tiga bulan yang mendatang ini.

Sayu juga hati ini, dengan menghampir nya Ramadhan acap tahun, kita terbayang wajah rakan taulan, sanak saudara yang kita telah tiada lagi bersama dalam saf-saf tarawikh. Malang bagi mereka yang telah tidak diberi kesempatan oleh Allah untuk bertemu dengan 10 malam terakhir pada Ramadhan 1432 kali ini.

Telah berpesan guru ku bahawa katanya dalam bulan Rejab ini, satu perkara yang berlaku adalah, Kariman Katibin akan menyemak lembaran, siapakah yang akan dipanjangkan umur dan siapa pula yang dipendekkan umur nya.Malaikat maut itu akan melihat, siapakah yang akan diambil nyawa nya pada Rejab, Syaaban dan siapa pula yang tersenarai antara mereka yang beroleh ganjaran peluang di akhir 10 Ramadhan 1432. Pasti seawal esok, banyaklah nanti kita lihat, baca, dengar dan alami berita kematian yang tidak sudah-sudah. Perkara tahunan ini samaada sedar atau sengaja buat-buat tak sedar pasti berlaku lagi pada tahun ini...soalnya apakah kita ini adalah diantara calon yang diambil nyawa nya atau calon yang mencecah ke akhir Ramadhan? Apakah kita tersenarai antara insan yang tak sempat memakai baju sedondong baru ditempah, atau kempunan tak merasa kuih raya yang berkotak-kotak.

Bersandarkan atas kesedaran ini, terjumpa kita akan satu doa, yang diajar oleh alim ulamak dan bukan niat kita diwaktu ini untuk berbahas akan status doa yang disabit sebagai hadis, tetapi sekadar amalan doa tambahan. Doa adalah sesuatu yang umum dan tidak memerlukan kepada sanad, apatah lagi doa-doa yang dianggap baik ini memang dibolehkan dan digalakkan.

Oleh yang demikian, sebelum kita sibuk lebih jauh dengan kerenah duniawi menuju syawal, marilah kita berhenti sejenak dan terus berdoa disepanjang 3 bulan yang mendatang ini demi kepasrahan kita kepada Yang Esa...semoga ditemukan kembali dengan Ramadhan dalam keadaan sihat dan dapat laksanakan ibadah puasa, qiam dan yang seumpamanya dengan sempurna dan diterima oleh Allah kerana Allah.

اللهم بارك لنا فى رجب وشعبان وبلغنا رمضان

” Ya Allah berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan “

Setidak-tidaknya, jika pun kita ditakdirkan tak bertemu dengan Ramadhan tahun ini, nawaitu, hajat dan niat kita jitu dan satu untuk beribadat kepada sang pencipta, bukan untuk kain baju yang sedondong atau kuih muih yang sedulang....

WallahuA'lam...peringatan untuk diri ku