Thursday, April 11, 2013

Membuka aib terbuka kemaluan

Nota ini ku tulis diwaktu mana fitnah sedang tersebar di arena fesbuk. Entah apa jembalang yang merasuk, seorang dua kawan fesbuk ku sibuk dan rancak sekali berkongsi gambar dan cerita seorang pemimpin PAS. Lalu setiap kali berdenting, kotak masuk, yang menambah perisa pada gambar itu, setiap itu juga lah tertambah satu dosanya..

Berkata orang " apa engkau fikir engkau tuhan yang mengagihkan dosa pahala?"
Kata ku "tidak!...tapi aku antara yang dipilih tuhan untuk kenal dosa pahala"

Kegilaan terkini ini membawa memori aku mengimbau zaman aku di Bukit Beruntung kira-kira 15 tahun yang lalu....
Sewaktu awal Bukit Beruntung, keadaan amat sunyi, maka setelah seketika disana, terancang oleh keadaan semasa, satu pasukan pencegah maksiat perlu ditubuhkan.
Berlumba-lumba orang tertarik hendak menjadi ahli pencegah maksiat. Aku selaku antara barisan orang yang dikenali dipelawa untuk turut serta..
"Maaf...aku bukan selayak orang" jawab ku ringkas.
Lantas saban minggu, berderai cerita sensasi "tangkap basah". Aib "suspek" dicerita, keseronokan mengendap jadi seperti adrenalin yang ditagih.
Diwaktu itu terserlah, tujuan apa si "pencegah maksiat" tadi... Alhamdulillah Allah lindungi aku dari fitnah yang bertopengkan amal. Kesudahan dan natijahnya ada diantara ahli penangkap basah itu juga  ahli maksiat!!...tapi ditempat orang bukan disana.

Sesungguhnya ada larangan untuk kita menyerbu kemaksiatan yang tidak terlihat. Sebagaimana segala kemaksiatan yang pernah kita lakukan, Allah telah menutupnya- mengapa perlu kita membukanya.

Nah apalagi pada cara fitnah yang menggunakan cctv, membuka aib orang sama ada suka-suka atau dendam kesumat politik.. Fikirlah, sewaktu kita memasang alat rakam atau cctv itu, sewaktu itu keburukan kita telah pun dirakamkan untuk tayangan diakhirat nanti. Sewaktu hasil rakaman kita tuai dan edar, rakaman perbuatan kita dah pun ditimbang dan dosa sudahpun di kreditkan. Sewaktu kawan-kawan fesbuk kita meng"share" mengomen dan memfowardkan hasil kerja kita, rangkaian jalinan sesawang dosa kita terus berkembang...

Patutkan ucapan tahniah pada hasil usaha kita itu? Berbaloikah usaha kita memalukan hamba Allah yang telah ditutup dosa peribadinya oleh Nya, tapi kita yang membuka aib orang itu?

Taubatlah rakan taulan. Jangan jadikan politik sebagai tempahan tiket ke neraka Allah. Jangan jadikan kejahilan kita harga membeli keseronokan dunia untuk penyiksaan akhirat.....

Wednesday, February 6, 2013

Kembali terasa nak menulis

Lebih setahun berlalu, hati tiba-tiba terasa terpanggil untuk menziarah laman sepi yang dah lama aku tinggalkan. Banyak perkara yang membuat hati terlalu tawar untuk menarikan jari di kekunci ASUS murahan aku ini. Namun begitu banyak lagi idea-idea yang terkadang songsang memberontak menuntut agar dilepaskan kealam cyber yang fana ini.

Kenapa dah lama tak tulis, tiba-tiba satu suara bertanya dari wajah yang teramat laaaama sudah tak terpandang...ada, cuma malas dan sibuk dengan urusan lain. Tak pa nantilah saya tulis semula jika ada umur...jawab ku ringkas.

Banyak sebab yang menyinggung jari ini dari menerjah kekunci komputer..yang amat terkesan, apabila tulisan kita menjadi titik pertengkaran. Sebetulnya akal merdeka tak mungkin singkat untuk mencari jalan mudah melalui konfrantasi apatah lagi bertegang  leher hanya kerana rentitan susunan kata yang mungkin bertukar menjadi batu bata jatuh dari langit. Pun begitu sekali lagi mungkin hanya yang kurang akal sanggup memutuskan jalinan persaudaraan cuma kerana kalah berhujah dan marah tak berhujah.

Okay.. setakat ini dulu untuk pembuka tirai arena baru, masih perlu membiasakan dengan layout terkini juga pasrah mencari kata kunci yang semakin terpudar kerana tidak disentuh sekian waktu...

Wassalam...