Wednesday, October 15, 2008

Mengenali sempadan Adat dan Ibadat dalam kematian

Ramadhan telah pun berlalu pergi... Episod kehidupan yang berterusan ini, membuat diri betul-betul tidak sedar akan usia yang kian tamat. Tersurat akan kisah kehidupan ku tahun ini, Ramadhan nya bermula dengan kematian dan akhirnya juga dengan kematian. Oleh itu, alhamdulillah telah sedikit sebanyak membuka mata ku tentang adat dan ibadat dalam menghadapi babak-babak kematian. Untuk memudahkan point dan turutan peristiwa, biar ku tulis segalanya satu persatu.

1. Pertama-tama perkara selepas jenazah menghembuskan nafas terakhir, perlulah kita bantu jika perlu dan pastikan mata jenazah telah tertutup. Rapatkan mulut jenazah dan jika perlu diikat dagu dan kepala untuk merapatkan mulut jenazah. Ada juga sesetengah orang akan menyuruh disapukan sendi-sendi jenazah dengan minyak, guna untuk memudahkan dan melembutkan sendi untuk dilentur dan dibetulkan anggota kepada posisi yang dihajati. Perbuatan ini juga adalah bertujuan untuk memudahkan urusan memandikan jenazah nanti. - semua perbuatan ini adalah termaktub dalam istilah menghormati jenazah.

2. Akan ada suara-suara yang menyuruh untuk meletakkan jenazah secara melunjur dengan kaki kearah kiblat. Sebenarnya tindakan ini bukan lah berlandaskan ilmu agama, tetapi lebih kepada adat dan logik akal. Hujah yang diberi adalah posisi begini, (jika boleh kita gambarkan) sebagai posisi yang jika diseru maka jenazah akan bengun terus mengadap kiblat. Peliknya ramai orang kita yang begitu sensitif untuk melunjurkan kaki kearah kiblat dengan alasan "tak baik", hatta posisi katil pun kadang-kadang menjadi isu dalam bilik tudur. Melalui pengalaman dan penelitian saya sendiri, di Masjidil Haram ramai orang yang tak kira bangsa melunjurkan kaki kearah kiblat. Berbalik kepada point kedua ini, tidaklah menjadi isu kearah mana jenazah perlu diletak, kerana ianya tidak tersebut dalam kitab agama. Maka itu, jangan lah menjadikan perkara remeh ini alasan untuk bertikam lidah disamping jenazah.

3. Mandi Gabah atau Mandi Gabas. Ianya juga satu istilah yang tidak terjumpa dalam kitab fikah yang pernah saya baca.(Pun begitu, perlu saya tekankan bahawa tidak lah banyak mana pun kitab fikah yang saya sudah baca, dan jika ada tercatit dimana-mana harap dapat kongsi bersama). Mandi Gabas adalah satu proses untuk membersihkan jenazah. Ianya adalah selari dengan istilah menghormati jenazah, kerana jika jenazah itu masih najis ianya seolah-olah diabaikan oleh ahli keluarga atau orang sekeliling, kerana kita semua tidak mahu lama menanggung najis, begitulah juga sifatnya atas jenazah. Jenazah boleh menaggung najis disebabkan air kencing atau najis yang keluar sewaktu nazak, apabila tercabut nyawa dan juga setelah beberapa ketika kematian. Ini berlaku kerana begitulah peritnya apabila nyawa tercabut dan juga disebabkan sistem badan yang telah tidak berfungsi lagi. Sebetulnya proses ini tidak perlulah dilaksanakan mandi seperti "mandi" yang kita fahami. Ini kerana ianya akan membebankan orang hidup disamping dibimbangi "menyakitkan" jenazah, walaupun mungkin akan ada suara-suara yang berkeras mahu dilakukan mandi yang sebenar. Sebaliknya ianya cukup dengan membersihkan kedua jalan keluar najis jenazah dengan air, kain basah atau wipes sahaja untuk menghilangkan zahir najis.

4. Menutup atau menterbalikkan gambar-gambar makhluk juga cermin-cermin yang digantung atau yang terdapat didalam rumah yang ada jenazah. Perbuatan menutup gambar-gambar makhluk, pada saya adalah perbuatan yang hipokrit dan tidak berasas sama sekali. Ianya juga tidak termaktub dalam kitab fikah malah lebih kepada adat dan logik orang dahulu kala. Perbuatan tanpa dalil dan penerangan ini sering disalah ertikan oleh orang ramai sebagai menghormati jenazah, malah ada yang berpendapat, takut-takut nanti roh simati memasuki gambar-gambar yang ada. Hujah yang paling kuat yang saya dapat sandarkan kepada islam adalah, sememangnya gambar-gambar makhluk tidak digalakkan malah diharamkan untuk digantung didinding-dinding rumah (bergantung kepada jenis gambar dan fahaman individu). Oleh itu, tidak lah manis disaat jenazah kelak akan disoal, jumahnya dipenuhi dengan bahan-bahan yang tidak disukai Nabi. Itulah sebabnya saya katakan, ianya adalah satu perbuatan hipokrit (baca munafik) seseorang yang menurunkan, menutup atau menterbalikkan gambar dirumah yang terdapat jenazah, tetapi membetulkan nya semula selepas jenazah selesai dikebumikan. Sebaiknya gambar-gambar tersebut tidak digantung terus. Bagi kes cermin pula, ianya satu lagi tindakan adat yang tak berasas malah boleh membawa fahaman karut akan mengapa cermin perlu diterbalikkan selagi jenazah berada didalam rumah. Pendapat liar ini terus menular dizaman moden ini hinggakan pernah saya terjumpa, peti TV juga ditutupi dengan kain batik. Ianya ternyata dan jelas pendapat yang tak berasas.

5. Dibakar kemiyan atau bau-bauan. Tidakkan ini ada baiknya malah bergantung kepada keadaan jenazah mungkin ianya amat-amat baik. Ini kerana kadang-kadang ada jenazah yang berbau, seperti mana juga manusia hidup ada bau badannya. Kadang-kadang bau yang ada adalah sedikit hamis dan sedikit meloyakan, dengan adanya bau keminyan atau bau-bauan ini insyaAllah dapat memberi sedikit keselesaan pada yang hidup dan dapat juga menutup aib simati. Tetapi amat malang pula, masyarakat kita telah diracuni akan bau keminyan dengan cerita-cerita seram atau pemujaan, tetapi ketahuilah hakikat asalnya untuk kebaikkan.

6. Bacaan ayat quran disisi jenazah. Ada pendapat yang mengatakan elok jika dapat dikahatamkan sebuah Quran disisi jenazah, malah ada pula yang sambung menyambung apabila berganti pembaca . Hakikatnya bacalah apa-apa surah atau ayat disisi jenazah semoga ada kebaikkan keatas jenazah mahupun orang yang membaca itu sendiri. Tidak perlulah dicipta satu kemestian kifiyat bacaan quran untuk jenazah kerana bimbang akan disangka ajaran Nabi oleh orang ramai.

Sekian buat masa ini...ada sambungannya...jari dah letih nak taip.

No comments:

Post a Comment