Tuesday, May 31, 2011

Muhasabah Rejab, Syaaban dan Ramadhan

Tiba-tiba kita lihat kedai kain dah mula dikunjungi pembeli, tukang-tukang jahit pula dah mula meletak harga musim "hangat", dah berani meletak tarikh akhir untuk tempahan. Saudagar kuih dah mula bercita-cita, kuih itu nak dibuat tepung itu, gula ini semua dalam perkiraan.

Congak-congak, rupa-rupanya esok masuklah bulan keramat Rejab yang terus menjemput Shaaban, Ramadhan seterusnya 1 Syawal didalam kehidupan kita. Sememangnya sinonimlah dalam kehidupan kita, 3 bualn sebelum raya ini adalah bulan-bulan sibuk, sehingga kesibukan dunia itu sering kali menutup mata hati kita untuk melihat kepada hakikat disebalik tiga bulan yang mendatang ini.

Sayu juga hati ini, dengan menghampir nya Ramadhan acap tahun, kita terbayang wajah rakan taulan, sanak saudara yang kita telah tiada lagi bersama dalam saf-saf tarawikh. Malang bagi mereka yang telah tidak diberi kesempatan oleh Allah untuk bertemu dengan 10 malam terakhir pada Ramadhan 1432 kali ini.

Telah berpesan guru ku bahawa katanya dalam bulan Rejab ini, satu perkara yang berlaku adalah, Kariman Katibin akan menyemak lembaran, siapakah yang akan dipanjangkan umur dan siapa pula yang dipendekkan umur nya.Malaikat maut itu akan melihat, siapakah yang akan diambil nyawa nya pada Rejab, Syaaban dan siapa pula yang tersenarai antara mereka yang beroleh ganjaran peluang di akhir 10 Ramadhan 1432. Pasti seawal esok, banyaklah nanti kita lihat, baca, dengar dan alami berita kematian yang tidak sudah-sudah. Perkara tahunan ini samaada sedar atau sengaja buat-buat tak sedar pasti berlaku lagi pada tahun ini...soalnya apakah kita ini adalah diantara calon yang diambil nyawa nya atau calon yang mencecah ke akhir Ramadhan? Apakah kita tersenarai antara insan yang tak sempat memakai baju sedondong baru ditempah, atau kempunan tak merasa kuih raya yang berkotak-kotak.

Bersandarkan atas kesedaran ini, terjumpa kita akan satu doa, yang diajar oleh alim ulamak dan bukan niat kita diwaktu ini untuk berbahas akan status doa yang disabit sebagai hadis, tetapi sekadar amalan doa tambahan. Doa adalah sesuatu yang umum dan tidak memerlukan kepada sanad, apatah lagi doa-doa yang dianggap baik ini memang dibolehkan dan digalakkan.

Oleh yang demikian, sebelum kita sibuk lebih jauh dengan kerenah duniawi menuju syawal, marilah kita berhenti sejenak dan terus berdoa disepanjang 3 bulan yang mendatang ini demi kepasrahan kita kepada Yang Esa...semoga ditemukan kembali dengan Ramadhan dalam keadaan sihat dan dapat laksanakan ibadah puasa, qiam dan yang seumpamanya dengan sempurna dan diterima oleh Allah kerana Allah.

اللهم بارك لنا فى رجب وشعبان وبلغنا رمضان

” Ya Allah berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan “

Setidak-tidaknya, jika pun kita ditakdirkan tak bertemu dengan Ramadhan tahun ini, nawaitu, hajat dan niat kita jitu dan satu untuk beribadat kepada sang pencipta, bukan untuk kain baju yang sedondong atau kuih muih yang sedulang....

WallahuA'lam...peringatan untuk diri ku