Thursday, April 11, 2013

Membuka aib terbuka kemaluan

Nota ini ku tulis diwaktu mana fitnah sedang tersebar di arena fesbuk. Entah apa jembalang yang merasuk, seorang dua kawan fesbuk ku sibuk dan rancak sekali berkongsi gambar dan cerita seorang pemimpin PAS. Lalu setiap kali berdenting, kotak masuk, yang menambah perisa pada gambar itu, setiap itu juga lah tertambah satu dosanya..

Berkata orang " apa engkau fikir engkau tuhan yang mengagihkan dosa pahala?"
Kata ku "tidak!...tapi aku antara yang dipilih tuhan untuk kenal dosa pahala"

Kegilaan terkini ini membawa memori aku mengimbau zaman aku di Bukit Beruntung kira-kira 15 tahun yang lalu....
Sewaktu awal Bukit Beruntung, keadaan amat sunyi, maka setelah seketika disana, terancang oleh keadaan semasa, satu pasukan pencegah maksiat perlu ditubuhkan.
Berlumba-lumba orang tertarik hendak menjadi ahli pencegah maksiat. Aku selaku antara barisan orang yang dikenali dipelawa untuk turut serta..
"Maaf...aku bukan selayak orang" jawab ku ringkas.
Lantas saban minggu, berderai cerita sensasi "tangkap basah". Aib "suspek" dicerita, keseronokan mengendap jadi seperti adrenalin yang ditagih.
Diwaktu itu terserlah, tujuan apa si "pencegah maksiat" tadi... Alhamdulillah Allah lindungi aku dari fitnah yang bertopengkan amal. Kesudahan dan natijahnya ada diantara ahli penangkap basah itu juga  ahli maksiat!!...tapi ditempat orang bukan disana.

Sesungguhnya ada larangan untuk kita menyerbu kemaksiatan yang tidak terlihat. Sebagaimana segala kemaksiatan yang pernah kita lakukan, Allah telah menutupnya- mengapa perlu kita membukanya.

Nah apalagi pada cara fitnah yang menggunakan cctv, membuka aib orang sama ada suka-suka atau dendam kesumat politik.. Fikirlah, sewaktu kita memasang alat rakam atau cctv itu, sewaktu itu keburukan kita telah pun dirakamkan untuk tayangan diakhirat nanti. Sewaktu hasil rakaman kita tuai dan edar, rakaman perbuatan kita dah pun ditimbang dan dosa sudahpun di kreditkan. Sewaktu kawan-kawan fesbuk kita meng"share" mengomen dan memfowardkan hasil kerja kita, rangkaian jalinan sesawang dosa kita terus berkembang...

Patutkan ucapan tahniah pada hasil usaha kita itu? Berbaloikah usaha kita memalukan hamba Allah yang telah ditutup dosa peribadinya oleh Nya, tapi kita yang membuka aib orang itu?

Taubatlah rakan taulan. Jangan jadikan politik sebagai tempahan tiket ke neraka Allah. Jangan jadikan kejahilan kita harga membeli keseronokan dunia untuk penyiksaan akhirat.....

Wednesday, February 6, 2013

Kembali terasa nak menulis

Lebih setahun berlalu, hati tiba-tiba terasa terpanggil untuk menziarah laman sepi yang dah lama aku tinggalkan. Banyak perkara yang membuat hati terlalu tawar untuk menarikan jari di kekunci ASUS murahan aku ini. Namun begitu banyak lagi idea-idea yang terkadang songsang memberontak menuntut agar dilepaskan kealam cyber yang fana ini.

Kenapa dah lama tak tulis, tiba-tiba satu suara bertanya dari wajah yang teramat laaaama sudah tak terpandang...ada, cuma malas dan sibuk dengan urusan lain. Tak pa nantilah saya tulis semula jika ada umur...jawab ku ringkas.

Banyak sebab yang menyinggung jari ini dari menerjah kekunci komputer..yang amat terkesan, apabila tulisan kita menjadi titik pertengkaran. Sebetulnya akal merdeka tak mungkin singkat untuk mencari jalan mudah melalui konfrantasi apatah lagi bertegang  leher hanya kerana rentitan susunan kata yang mungkin bertukar menjadi batu bata jatuh dari langit. Pun begitu sekali lagi mungkin hanya yang kurang akal sanggup memutuskan jalinan persaudaraan cuma kerana kalah berhujah dan marah tak berhujah.

Okay.. setakat ini dulu untuk pembuka tirai arena baru, masih perlu membiasakan dengan layout terkini juga pasrah mencari kata kunci yang semakin terpudar kerana tidak disentuh sekian waktu...

Wassalam...

Thursday, June 9, 2011

Qarinah dan Qazaf

Maka tiba-tiba wall facebook kita berselirat dengan sisipan video seorang Ustaz denga tajuk Penjelasan Tuduhan Zina tanpa 4 orang saksi. Saling berrangkai, pautan demi pautan, via wall sifulan kepada wall sifulan dan sifulan kepada sifulan... lagak seperti terkejut beruk sangat dengan ceramah ustaz yang mendedahkan bahawa mana mungkin 4 orang saksi menjadi tunggak kepada setiap kesalahan seks, atau lebih tepat merujuk kepada Zina dan Liwat dalam perundangan islam!!

Saya lebih suka mengkaji daripada menyebarkan- lebih-lebih lagi jika ianya sesuatu yang bersangkutan dengan perundangan yang telah termaktub dalam agama islam. Maka disini saya bawakan secara ringkas, bersesuaian dengan kapasiti saya sebagai orang awam satu catetan bersangkutan dengan hal yang disentuh dalam klip video tersebut.

Pada awal video tersebut tertulis kata-kata sebegini.." Bolehkah membuat tuduhan zina tanpa membawa 4 orang saksi, sebaliknya penuduh hanya mempunya bukti-bukti lain seperti video, gambar, air mani, DNA, pakaian dan sebagainya?" disini saya ubah, baca dan cernalah catetan saya ini secara jujur dan jawablah sendiri persoalan yang dibawa oleh tukang edit video tersebut...ingat secara jujur!!

"Ustaz" yang berceloteh pun memulakan bicara dengan mengatakan bahawa:-

Pertuduhan zina ada tiga (kaedah)..barulah boleh jatuh (hukum) sama ada nak kena hudud atau ta’zir. Pertama ada ikrar (pengakuan). Bila mengaku berzina, dia kena hudud.

Kedua. Hendaklah dikemukakan empat orang saksi. Yang adil, yang tidak fasiq, yang nampak sungguh-sungguh perlakuan zina itu berlaku.

Ketiga, seandainya tidak ada 4 saksi, ia datang dari segi qarinah (pembuktian lain). Qarinah adalah pembuktian yang tidak ada 4 saksi. Tetapi tidak boleh dihukum di bawah undang-undang hudud, (sebaliknya) dihukum di bawah undang takzir”, katanya.

Setelah kita rujuk, kita dapati bahawa Jenayah zina telah sepakat di kalangan ulama boleh thabit dari dua perkara :

a) Pengakuan daripada penzina atau Iqrar.

b) Bukti yang jelas iaitu oleh 4 orang saksi lelaki muslim, baligh, merdeka, punyai pengelihatan, boleh bertutur, tidak ditohmah sebagai pembohong dan adil. (al-Feqh al-Islami wa adillatuhu, 8/6035-6040, cet kedua, Dar al-Fikr)

seseorang sabit jenayah zina/liwat.MENUDUH-tidak ada langsung kita jumpa tentang Qarinah dalam bab

DALIL PARA JUMHUR ULAMA’:

1. Firman Allah:

Mafhum: “Maka mestilah bersaksi ke atasnya ( kes zina) dengan empat saksi daripada kamu” (An-Nisa’: 15)

2. Firman Allah:

Mafhum: “Bagi mereka yang menuduh wanita-wanita baik (dengan zina) kemudian tidak membawakan empat orang saksi” (An-Nuur 4)

3. Firman Allah SWT:

Mafhum: Hendaklah kamu bersakasi dengan mereka yang adil daripada kalangan kamu (At-Talaq: 2)

4. Sabda Nabi SAW:

Mafhum: “Empat saksi lelaki atau hukuman sebat ke atas belakangmu” (Riwayat al-Bukhari dari Ibn Abbas lihat Nasb ar-Rayah 3/306, dan Abu Ya’l al-Mausili daripada anas bin Malik)

Qarinah- hanya diterangkan kaedah ini dalam masalah jenayah zina adalah berkenaan dengan wanita (mangsa rogol) yang tidak mempunyai saksi, dia dibolehkan membawa bukti-bukti (qarinah-qarinah) terkuat mengikut cara perundangan ke mahkamah atau ke qadhi dan hakim. Ia mesti dilakukan dengan teliti agar tidak sabit hukum qazf ke atasnya. Dalam ertikata lain, (membawa bandingan cetik ustaz itu)... Jika ada seorang anak dara budak kilang (kata ustaz itu) didepan rumah kita, yang tiba-tiba besar perutnya, maka kandungan dalam perut itu menjadi Qarinah (bukti) bahawa dia telah berzina. Cantiknya perundangan islam, disini perlulah si wanita tadi membawa Qarinah (bukti-bukti) pula bahawa dia dirogol apabila disoal samada dia telah berzina yang menyebabkan dia mengandung.

Jika wanita itu didapati memang telah berzina dalam "kaedah perundangan", tetapi masih tidak mahu mengaku- maka jatuhlah takzir keatasnya. Jika dia mengaku, maka hudud lah keatasnya.

Begitu juga jika Qarinah yang dibawa oleh wanita itu menunjukkan dia telah dirogol, maka terselamatlah dia dari hukuman dan dia boleh meminta hakim memberi keadilan keatas dirinya dan menghukum perogolnya dengan Qarinah yang ada, dengan cara yang diajar oleh syarak.

Kepincangan pada klip video yang tersebar adalah, si ustaz hanya menonjolkan bahawa anak dalam kandungan itu adalah Qarinah untuk kita menuduh wanita itu berzina, tanpa usul periksa- ustaz tidak memberi ruang atau penerangan langsung tentang pembelaan nasib wanita yang mengandung itu dengan kaedah Qarinah.

Ustaz pula seperti menyindir bila mana membawa gambaran isteri jemaahnya dirogol- di gambarkan kebodohan ahli jemaah nya (juga mungkin penggemar video nya) yang tidak tahu apa yang hendak dibuat kerana tidak ada 4 orang saksi, disini saya kongsi kan kaedah terutama untuk mereka yang sedang rancak memfowardkan video itu...biar cerah sikit otak itu..

Seseorang yang mengadu dirinya dirogol, sepertimana kes-kes biasa, perlu membuat lapuran polis dan melakukan pemeriksaan doktor. Ini prosedur biasa.

Polis atau pegawai penyiasat akan melakukan penyiasatan berdasarkan lapuran dan keterangan yang diberikan. Sekiranya terdapat bukti yang kukuh bahawa kes rogol sememangnya telah berlaku, pegawai penyiasat akan menyerahkan lapuran kepada pihak pendakwa.

Sekiranya tahap kesaksian untuk pendakwaan dilakukan dalam hukum Hudud tidak mencukupi (tiada 4 orang saksi yang melihat kejadian tersebut), pihak pendakwa masih boleh mendakwanya di bawah undang-undang Takzir. Melalui peruntukan Takzir, beban pembuktian adalah lebih longgar. Pemeriksaan doktor dan keterangan-keterangan serta bukti-bukti yang dikumpulkan oleh polis ini (DNA test, lapuran

kesihatan, penilaian psychology, dll) dinamakan sebagai Qarinah. Qarinah boleh digunakan sebagai bahan bukti yang boleh mensabitkan kesalahan takzir ke atas perogol. Qarinah ini juga boleh mengelakkan mangsa rogol dari dakwaan Qazaf, kerana Qazaf merupakan kesalahan Hudud dan sebarang keraguan

yang boleh ditimbulkan (melalui Qarinah) dalam kes Hudud boleh menggugurkan kes tersebut. Hukuman Hudud boleh dilakukan ke atas seseorang hanya apabila tiada sebarang keraguan langsung (beyond any shadow of doubt). Manakala untuk kesalahan yang boleh dibuktikan secara jelas oleh Qarinah, tetapi

tidak mencapai tahap kesaksian yang diperlukan oleh Hudud, hukum Takzir boleh dikenakan terhadap penjenayah tersebut.

(Saya benar-benar berharap agar sahabat yang turut ketawa dengan lawak ustaz ini dalam masalah diatas bertubatlah- kerana anda mungkin sebenarnya mentertawakan kehendak Allah tanpa disedari...)

Merujuk kepada urutan dalam pencarian saya, sebenarnya kita akan berjumpa dengan istilah 1. Ikrar 2. 4 orang saksi 3. Qazaf dan keempat barulah Qarinah.

Jelas ulamak telah menggariskan dangan petunjuk dari Allah dan Nabi saw, sebelum kita berbicara bab Qarinah, pastikan dahulu kita faham peruntukan Qazaf dalam perundangan islam. Qazaf membawa kepada hudud, sedangkan Qarinah hanya membawa kepada takzir.

Qazaf ialah membuat tuduhan zina yang tidak dibuktikan oleh empat orang saksi lelaki terhadap seseorang Islam yang mukallaf dan dikenali sebagai seorang yang bersih diri daripada kelakuan zina. Tidak berlaku Qazaf atas tuduhan kepada pelacur atau gigolo, atau orang yang diketahui sebagai ahli zina. Islam begitu mengambil berat isu qazaf sehinggakan, dengan kata-kata seperti "engkau anak haram" atau "engkau bukan anak bapa mu.." adalah menuduh seorang ibu itu berzina dan boleh dijatuhkan hudud kepada pengucapnya- inikan pula menuduh secara terang-terangan bahawa seseorang individu itu berzina/liwat.

Seorang wanita yang mengandung anak luar nikah pun boleh dikenakan Qazaf jika menuduh seseorang itu bapa kepada anak dalam kandungannya jika Qarinah yang dibawa nya tidak kuat atau ditolak oleh mahkamah, inikan pula seorang asing yang tidak ada kena mengena tiba-tiba menuduh seseorang telah bersetubuh/liwat dengannya samada secara paksa atau sukarela.

Perlu diingat, berapa ramai pula hari ini, wanita yang berzina dengan teman lelakinya, tetapi akibat ditinggalkan teman lelaki maka mendakwa dirinya dirogol, atau terdapat juga wanita jahat yang diupah dan sebagainya, yang sengaja mahu menjerat individu tertentu maka menuduh dirinya dirogol individu sasarannya, tanpa bukti langsung. Justeru dengan adanya hukuman qazf ini, perkara ini akan terhalang.

Maka, keadilan hukum Islam ini menyelamatkan kedua-dua pihak, sama ada pihak wanita yang dicabuli (dengan hukuman hudud atau ta’zir ke atas lelaki yang mencabulinya) dan pihak lelaki (boleh disabit hanya dengan 4 saksi atau bukti yang nyata tanpa boleh dituduh sebarangan) Jelas, Islam menjaga kedua-dua belah pihak tanpa sedikitpun menzalimi mereka.

Sebagai penutup, catetan diatas adalah olahan dari pembacaan dan perbincangan saya dengan guru-guru saya. Saya mohon maaf kerana tidak dapat memberi nota kaki untuk tuan-tuan tekuni, tetapi percayalah insyaAllah, buka lah mana-mana kitab fikh pun, jika menyentuh soal zina, maka urutan nya adalah begini..

1. Ikrar

2. Saksi 4 orang

3. Qazaf

4. Qarinah

Kesimpulan..untuk jenayah zina.

1. Pertuduhan WAJIB membawa 4 orang saksi.

2. Jika menuduh seorang itu berzina dengan kaedah Qarinah kandungan, tertuduh berhak membawa Qarinah untuk membuktikan bahawa dia dirogol.

3. Jika menuduh seseorang berzina dengan kaedah Qarinah, Qazaf perlu juga dijalankan kerana hudud adalah lebih utama dari takzir.

Qazaf membawa kepada hudud, sedangkan Qarinah hanya membawa kepada takzir. Hudud adalah ketentuan Allah, dan takzir adalah ketentuan para hakim (manusia), mana mungkin dan mengapa ustaz melanggar Hudud untuk menjatuhkan Takzir?

Saya adalah orang sekular yang hanya mampu membuat rujukan dan muzakarah tanpa ada apa-apa motif politik, ianya semata-mata kerana ilmu islam, mungkin ada kesalahan pemahaman saya dalam bab ini saya mohon dibimbingi. Sedangkan ustaz yang menyampaikan kuliah adalah orang agama tetapi kita tidak pasti apa kepentingan nya atau mungkin sahaja olahan penyebar video yang telah diedit ini yang sebenarnya berkepentigan, saya serahkan pada tuan-tuan dengan penghujahan yang tak seberapa ini semoga kita terus dilindungi Allah dari fitnah akhir zaman. Dengan itu, jawablah persoalan yang mula-mula kita hadapi tadi dengan sejujurnya....

WallhuA'lam

Sebarkanlah jika ada baiknya...

(pada rakan-rakan yang kurang senang dengan tulisan saya ini, saya mohon maaf. Saya cuma merasakan ianya perlu disebarkan sebagai wadah tuan-tuan semua menilai dengan hikmah dan jujur)

Tuesday, May 31, 2011

Muhasabah Rejab, Syaaban dan Ramadhan

Tiba-tiba kita lihat kedai kain dah mula dikunjungi pembeli, tukang-tukang jahit pula dah mula meletak harga musim "hangat", dah berani meletak tarikh akhir untuk tempahan. Saudagar kuih dah mula bercita-cita, kuih itu nak dibuat tepung itu, gula ini semua dalam perkiraan.

Congak-congak, rupa-rupanya esok masuklah bulan keramat Rejab yang terus menjemput Shaaban, Ramadhan seterusnya 1 Syawal didalam kehidupan kita. Sememangnya sinonimlah dalam kehidupan kita, 3 bualn sebelum raya ini adalah bulan-bulan sibuk, sehingga kesibukan dunia itu sering kali menutup mata hati kita untuk melihat kepada hakikat disebalik tiga bulan yang mendatang ini.

Sayu juga hati ini, dengan menghampir nya Ramadhan acap tahun, kita terbayang wajah rakan taulan, sanak saudara yang kita telah tiada lagi bersama dalam saf-saf tarawikh. Malang bagi mereka yang telah tidak diberi kesempatan oleh Allah untuk bertemu dengan 10 malam terakhir pada Ramadhan 1432 kali ini.

Telah berpesan guru ku bahawa katanya dalam bulan Rejab ini, satu perkara yang berlaku adalah, Kariman Katibin akan menyemak lembaran, siapakah yang akan dipanjangkan umur dan siapa pula yang dipendekkan umur nya.Malaikat maut itu akan melihat, siapakah yang akan diambil nyawa nya pada Rejab, Syaaban dan siapa pula yang tersenarai antara mereka yang beroleh ganjaran peluang di akhir 10 Ramadhan 1432. Pasti seawal esok, banyaklah nanti kita lihat, baca, dengar dan alami berita kematian yang tidak sudah-sudah. Perkara tahunan ini samaada sedar atau sengaja buat-buat tak sedar pasti berlaku lagi pada tahun ini...soalnya apakah kita ini adalah diantara calon yang diambil nyawa nya atau calon yang mencecah ke akhir Ramadhan? Apakah kita tersenarai antara insan yang tak sempat memakai baju sedondong baru ditempah, atau kempunan tak merasa kuih raya yang berkotak-kotak.

Bersandarkan atas kesedaran ini, terjumpa kita akan satu doa, yang diajar oleh alim ulamak dan bukan niat kita diwaktu ini untuk berbahas akan status doa yang disabit sebagai hadis, tetapi sekadar amalan doa tambahan. Doa adalah sesuatu yang umum dan tidak memerlukan kepada sanad, apatah lagi doa-doa yang dianggap baik ini memang dibolehkan dan digalakkan.

Oleh yang demikian, sebelum kita sibuk lebih jauh dengan kerenah duniawi menuju syawal, marilah kita berhenti sejenak dan terus berdoa disepanjang 3 bulan yang mendatang ini demi kepasrahan kita kepada Yang Esa...semoga ditemukan kembali dengan Ramadhan dalam keadaan sihat dan dapat laksanakan ibadah puasa, qiam dan yang seumpamanya dengan sempurna dan diterima oleh Allah kerana Allah.

اللهم بارك لنا فى رجب وشعبان وبلغنا رمضان

” Ya Allah berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan “

Setidak-tidaknya, jika pun kita ditakdirkan tak bertemu dengan Ramadhan tahun ini, nawaitu, hajat dan niat kita jitu dan satu untuk beribadat kepada sang pencipta, bukan untuk kain baju yang sedondong atau kuih muih yang sedulang....

WallahuA'lam...peringatan untuk diri ku

Sunday, July 25, 2010

Berikut adalah jawapan saya terhadap satu pertanyaan...

Assalamualaikum w.b.t

Maaf ana yg Jahil ni ingin bertanya setelah berdialog dengan seorang hamba Allah.

Kenapa di Indonesia walaupun majoritinye mengikut Mazhab Syafi'ie tetapi boleh berkahwin campur?
Perkahwinan yg berlainan agama.

Harap dpt dibantu.

Terima Kasih

Manan

Salam untuk semua, khas nya kepada Tuan Manan Tuan pertama sekali perlu faham bahawa Indonesia adalah sebuah negara yang jauh lebih sekular dari Malaysia. Pengaruh fahaman liberal belanda yang tebal akibat dijajah sekian lama memang telah berakar umbi dalam masyarakat mereka dalam serba serbi kehidupan terutama pada gologan berada apalagi pemerintah. Kita perlu sedar walau banyak mana pesantrian, ramai mana ulamak dan jutaan manusia yang berstatus Islam yang terdapat disana, Islam bukanlah cara hidup keseluruhan rakyat mereka secara total. Ditambah pula dengan segala macam fahaman nusantara yang bercampur aduk hanya segelintir sahaja yang mahu menjurus terus kepada islam hakiki disana. Kesimpulan yang tuan ambil bahawa disana boleh berkhwin campur atau dalam istilah mereka "pernikahan beda agama" adalah didasarkan kepada formaliti dan tidak ada kena mengena langsung dengan departement agama disana dan terang-terang ianya adalah prinsip sekular pengasingan agama dan kehidupan harian manusia . Kerana berbeza dengan kita, perundangan nikah khawin terutama yang berkait dengan umat islam adalah dikawal dan dilandaskan kepada Syari'e. Sebenarnya fatwa ulamak disana adalah saya kepilkan.. MENETAPKAN : FATWA TENTANG PERKAWINAN BEDA AGAMA 1.Perkawinan beda agama adalah haram dan tidak sah. 2.Perkawinan laki-laki muslim dengan wanita Ahlu Kitab, menurut qaul mu'tamad, adalah haram dan tidak sah. Ditetapkan di : Jakarta Pada Tanggal : 22 Jumadil Akhir 1426 H. 29 Juli 2005 M. MUSYAWARAH NASIOANAL VII MAJELIS ULAMA INDONESIA, Pimpinan Sidang Komisi C Bidang Fatwa Ketua, Sekretaris, Maka begitulah celarunya islam disana, sedangkan fatwa hanya tinggal fatwa dan tidak akan berlaku sesuatu fatwa itu digazetkan seperti di Malaysia, makanya ianya adalah hak dan pilihan individu samaada mahu mengikut fatwa atau tidak. Sebagai contoh untuk bandigan disini fatwa pengharaman merokok adalah jelas, tetapi tidak digazetkan, maka terserah kepada individu untuk teus merokok atau tidak, sedangakan larangan merokok ditempat berhawa dingin telah digazetkan dan sesiapa yang melanggar larangan itu akan dihukum. Kesimpulan, jangan kita beranggapan bahawa di Indonesia itu boleh berkhawin campur dari segi hukum syari'e, tetapi harus lah kita faham bahawa mereka berkhawin campur disana bukan lah berlandaskan fatwa tetapi sekadar undang2 dunia semata-mata. WallhuAlam

Thursday, August 20, 2009

Perutusan untuk mereka yang beriman

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa (Baqarah : 183)

Beberapa hari yang ditentukan itu ialah bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang bathil) … (Surah al-Baqarah : 185)


Bersama kita mengejar ganjaran Allah semata-mata kerana Nya berlandaskan ilmu dan sunnah Nabi (saw). Saya sudahi dengan ucapan ….. Ramadhan Kareem, Kullu Sanah Wa Entum Tayyibun


Saturday, August 15, 2009

Saya dahulukan dengan ucapan maaf

Assalamualaikum para sidang pembaca yang saya muliakan. Busy dengan dunia membuatkan dah lama tak berhujjah disini. Sedar tak sedar Ramadhan telah pun kian hampir, dan menjadi lumrah kebiasaan banyaklah email bermusim yang kita terima dan salah satu yang menarik minat angah adalah yang berikut... Do'a malaikat Jibril menjelang Ramadhan " "Ya Allah tolong abaikan puasa ummat Muhammad, apabila sebelum memasuki bulan Ramadhan dia tidak melakukan hal-hal yang berikut: * Tidak memohon maaf terlebih dahulu kepada kedua orang tuanya (jika masih ada); * Tidak berma'afan terlebih dahulu antara suami isteri; * Tidak bermaafan terlebih dahulu dengan orang-orang sekitarnya. Maka Rasulullah pun mengatakan Amiin sebanyak 3 kali. Dapatkah kita bayangkan, yang berdo'a adalah Malaikat dan yang meng-amiinkan adalah Rasullullah dan para sahabat , dan dilakukan pada hari Jumaat." Mungkin sidang pembaca juga ada menerima email yang seperti itu, mungkin ada juga yang telah mengfwdkannya, apa pun dibawah adalah jawapan saya...semoga ada manfaat. Maaf juga saya utarakan terlebih dahulu apa kiranya tulisan ini kelak melawan arus, kerana sememangnya yang batil harus kita tolak dan yang haq wajib kita junjung, namun begitu tidak sekali-kali matlamat menghalalkan cara selagi mana ia tetap dalam aman. Sudah termaklum untuk kita semua sentiasa memohon maaf dan seperti yang diajar pada aliran tasawuf mengatakan sebaik-baik dosa adalah yang terus disusuli taubat, begitulah juga dengan kesalahan sesama manusia, tidak berkehendakkan kepada datangnya Ramadhan untuk kita memohon maaf, melainkan terus bermaafan apa kala tersedar akan kesilapan kita. Lantaran maksud itu lah saya terpanggil untuk lebih meneliti "hadis??" yang disisipkan kerana tidak disertakan dengan sanad dan mantan, malah mendengar atau membaca nya sahaja telah mendatangkan sangsi. Setelah saya selidiki maka terserlahlah akan melatanya "hadis?" tersebut dan dari kesemua laman yang tertera, tidak ada satupun sanad perawi dan martabat hadis yang disertakan. Ini memaksa saya merujuk kepada kenalan yang sedang menuntut di Masjidil Haram Mekah, untuk menyiasat "hadis?" tersebut dan seperti yang saya jangkakan, beliau tidak berjumpa satupun riwayat yang sepertinya dari kitab-kitab hadis sunan abu daud, sunan tirmizi, addaromi, almuwatho, tanbihul ghofiliin, muslim dan bukhory. Malah kami percaya jika dilihat dalam kitab hadis-hadis palsu pun kita tidak mungkin terjumpa akan "hadis?" yang dibawakan ini. Oleh yang demikian kami suka memanggilnya setara dengan cerita donggeng, selagi tidak dibawakan sanad perawi seperti yang seharusnya disertakan apabila mengutarakan hadis hujjah. Oleh itu saya berharap, pada tuan-tuan dan puan-puan yang mengetahui akan sanad "hadis?" ini agar boleh dikongsi bersama, atau setidak-tidaknya mem"back-track" email "cut and paste" ini balik kepada tuan yang mula-mula menyebarkan cerita donggeng ini kerana tanpa sanad perawi yang sohih sebenarnya dia telah berdusta atas nama Jibril dan Nabi saw. Ingatlah pada siapa sahaja yang mendapat cerita-cerita yang mirip kepada hadis tapi tidak disertakan sanad perawi, seharusnya diteliti dan disiasat dahulu akan kesohihannya, kerana telah difatwakan dari sekian ramai ulamak muktabar bahawa tiada keberkatan bagi pendustaan dan pembohongan pada hadis palsu dan tidak dikira ibadat dengan menulis cerita dongeng ini meliankan dengan niat untuk memusnahkannya dan sabda Nabi (saw) siapa yang berdusta atas nama aku siaplah tempat duduk nya dalam neraka. Adapun hadis yang paling hampir atau mirip-mirip kepada apa yang disebarkan ini adalah seperti dibawah:- Nabi SAW naik ke atas mimbar kemudian berkata, “Amin, amin, amin”. Para sahabat bertanya. “Kenapa engkau berkata ‘Amin, amin, amin, Ya Rasulullah?” Nabi SAW bersabda, “Telah datang malaikat Jibril dan ia berkata : ‘Hai Muhammad celaka seseorang yang jika disebut nama engkau namun dia tidak bershalawat kepadamu dan katakanlah amin!’ maka kukatakan, ‘Amin’, kemudian Jibril berkata lagi, ‘Celaka seseorang yang masuk bulan Ramadhan tetapi keluar dari bulan Ramadhan tidak diampuni dosanya oleh Allah dan katakanlah amin!’, maka aku berkata : ‘Amin’. Kemudian Jibril berkata lagi. ‘Celaka seseorang yang mendapatkan kedua orang tuanya atau salah seorang dari keduanya masih hidup tetapi itu tidak memasukkan dia ke syurga dan katakanlah amin!’ maka kukatakan, ‘Amin”. [Hadits Riwayat Bazzar dalama Majma'uz Zawaid 10/1675-166, Hakim 4/153 disahihkannya dan disetujui oleh Imam Adz-Dzahabi dari Ka'ab bin Ujrah, diriwayatkan juga oleh Imam Bukhari dalam Adabul Mufrad no. 644 (Shahih Al-Adabul Mufrad No. 500 dari Jabir bin Abdillah)] juga kedapatan dalam [Hadits Riwayat Ibnu Khuzaimah 3/192 dan Ahmad 2/246 dan 254 dan Al-Baihaqi, Hadits ini shahih, asalnya terdapat dalam Shahih Muslim 4/1978] Semoga tuan yang memulakan rantaian email ini mempunyai hujjah yang menyelamatkan dia dari berdusta atas nama Jibril Alaihissalm dan Muhammad (s.a.w) dalam kegaiharahan untuk mengajak orang memohon maaf secara bermusim. WallahuA'lam hujjah dan muzakaroh dialu-alukan