Friday, September 26, 2008

Perancangan Tuhan

Hati ku benar-benar resah. Pesawat aku pasti akan lambat tiba di KLIA. Bagaimana perancangan yang sudah dibuat? Pasti tetamu ku akan berbuka dirumah ku tanpa kehadiran aku. Frust betul kalau sesuatu benda yang kita dah plan elok-elok, terancam oleh sesuatu perkara yang sememangnya luar kalawan kita.
Akhirnya pesawat aku bersedia. Semua sistem dan dokumen telah lengkap, akhirnya pesawat meluncur laju dan terbang kira-kira 55 minit lewat dari jadual asal. Kini aku pasrah, congakkan ku, Kunming yang jauhnya kira-kira 3jam setengah perjalanan ke Kuala Lumpur, dah tentu aku akan tiba pada pukul 6:30 petang paling awal. Kalau nak kejar ERL 6:50 teramat lah mustahil.

Aku tiba lewat, tanpa menunggu lama, aku terus keluar pesawat untuk proses imigeresen. Pada hati ku berkata, "sudah lah...tak perlu terkejar-kejar lagi. Memang plan dah hancurrr."
Aku menjeling kearah jam besar yang ada. Kira-kira 5minit lagi untuk berbuka. Dalam beg ku hanya ada sebotol air mineral dari China, aku perlu mencari sedikit tamar, untuk mendapat sunnah. Untung ada Bazar Ramadhan KLIA, kedai pertamanya menjual kurma.

Kurma yang ada hanyalah dijual secara kotak, dan yang paling murah berharga RM10.60. Mak datuk mahalnya kurma KLIA ni. Setelah diteliti aku rasa, nak tak nak, terpaksa juga aku beli kurma kotak yang mencekik darah itu.

Aku meninjau sekeliling . Terlihat aku kepada susuk tubuh seorang tua yang sedang duduk tunduk disatu sudut. Serban yang dililit rapi dengan baju biru nampak jelas ketokohan seorang muslim. Aku menghampiri orang tua itu lalu memberi salam.

"Assalamualaikum Haji", kata ku. Dia menjawab salam ku.
Sambil menghulur tangan, aku berkata "Mari kita berbuka sama".
"Alhamdulillah.."kata orang tua itu.
"Saya sebetulnya tak tahu apa nak berbuka dekat sini, saya tak biasa. Saya serah saja pada Allah". Jernih muka orang tua itu.
"Tak pe lah Haji, kita makan apa yang ada". Jawab saya sambil membuka pembungkus plastik kota kurma tadi.
"Allah telah hantar Tuan kepada saya dan tuan akan dapat pahala sama seperti pahala puasa saya tanpa mengurangkan sedikit pun pahala saya", tambah orang tua itu lagi.
Terfikir saya betapa ralatnya saya kerana pada tahun ini, tidak seperti tahun-tahun yang lalu, saya tidak sempat menghadiahkan kurma pada guru-guru agama saya.
"InsyaAllah" jawab saya ringkas. "Seminit lagi berbuka" tambah saya.

Waktu maghrib pun tiba, kami berbuka kurma sahaja. Saya memberi orang tua itu botol air mineral yang ada dan menyuruh nya minum kerana gelas tidak ada lagi pun rumah saya tidak begitu jauh lagi.

Masa terlalu pantas berjalan, saya harus pergi. ERL akan berangkat jam 720mlm dan saya tidak mahu terlepas kerana tetamu pasti menunggu dirumah. Saya minta diri dan bersalaman dengan orang tua itu. Entah mengapa, hati saya benar-benar ingin bertemu lagi dengan orang tua itu, lalu saya meminta izin untuk menghubungi nya lagi dilain waktu, tetapi masalahnya bagai mana cara saya.....(masuk waktu asar)...bersambung

Mencari LailatulQadar

Berkata sekumpulan ulamak berdasrkan pemerhatian dan pengamatan mereka seperti yang disebut oleh Imam Al Ghazali, sekiranya permulaan puasa jatuh pada hari Ahad atau Rabu maka Lailatulqadar ialah pada hari yang ke-29.
Jika bermula puasa pada hari Jumaat atau Selasa, ia jatuh pada hari ke-27.
Jika permulaan puasa pada Khamis, Lailatulqadar berlaku pada 25 Ramadan.
Jika awal puasa pada Sabtu maka Lailatulqadar jatuh pada hari ke-23 dan
Jika awal puasa pada Isnin, maka Lailatulqadar jatuh pada malam yang ke-21. Demikianlah kaedah yang diguna pakai oleh sebahagian ulama termasuk Imam Abul Hasan r.a. Tegas beliau: Aku tidak pernah terlepas malam Lailatulqadar tersebut dengan menggunakan kaedah ini''.

Kita tidak ingin membahaskan kesohihan atau hukumnya berpegang kepada kaedah ini, yang pasti jika diengkari tidak menjadi kesalahan dan jika dituruti dengan niat semata-mata keranan Allah dan kebetulan pula menepati malam tersebut amatlah beruntung nya kita.

Persoalannya, sudahkah anda bermunajat sepanjang Ramadhan yang sedang berlalu ini? Banyak mana zikir dan ayat quran yang kita lafaz, sewaktu orang lain sedang asik berdengkur, banyak mana mata air kita yang telah membasahi sejadah atau yang ada hanya lah bantal busuk yang dibasahi air liur basi.

Maka disaat yang tersedak ini, cubalah kita ambil alternatif terakhir merebut LailatulQadar ini. Pastinya, tentu ada yang berpendapat, lailatulQadar sudah berlalu, kerana jika berpandu kaedah diatas jika awal puasa jatuh pada hari isnin, maka lailatulQadar akan terjadi pada malam 21, iaitu sabtu malam ahad yang lalu!!! Dah melepas...Sabar dahulu, ingat bahawa kita berpuasa pada tahun ini adalah mengikut Ulul Azmi. Sunnah nya Syaaban yang sepatutnya dilengkapkan 30 hari telah menjadi 29 hari, lalu umat islam Malaysia berpuasa pada hari syak. Ianya tidak salah sama sekali, kerana yang kita ikut adalah Hisab dan bernaung dibawah arahan Ulul Azmi.

Oleh yang demikian, ada kemungkinan nya bahawa sebetul Ramadhan adalah pada hari Selasa, yang mana jika disemak kepada panduan diatas, LailatulQadar insyaAllah akan terjadi pada malam ke 27. Malam ke 27 juga bertepatan dengan rekod paling tinggi LailatulQadar berlaku, seperti yang ramai orang melayu namakan Malam Tujuh Likur. Bilakah pula ke 27 ini? Jika dilihat pada kalander, dah pastilah malam 27 adalah pada malam ini, jika ditolak satu hari kerana jika dikira Ramadhan bermula pada hari selasa, ianya akan berlaku pada malam esok.

Apapun adalah lebih baik jika malam Ramadhan yang hanya tinggal sisa-sisa ini terus kita hidupkan, daripada ianya berlalu sia-sia. Maka dengan ini sukacita diberi tahu, subuh esok (malam 27) satu majlis Qiamullai yang akan dipimpin oleh Ustaz Badrul Amin insyaAllah akan dijalankan di surau An-Nur Syek. 1 B.B.Bangi. Jika hati kita masih keras membatu, dan airmata yang terlalu membeku untuk meratapi tempat sujud, mungkin disana akan dapat kita pelajari dan hayati zikir munajat yang akan dibawa oleh ustaz.

InsyaAllah kita kesana.

Sunday, September 21, 2008

Taskirah Ramadhan-10 terakhir

Wahai Orang-orang yang beriman...

Sedar atau tidak, sepuluh terakhir Ramadhan telah pun tiba. Satu jangka masa yang amat menggembirakan pada mereka yang sedang menanti Hari Raya, satu masa yang gentir pada mereka yang perlu menghabiskan tempahan kuih raya orang, satu masa yang orang berpusu-pusu mencari juadah dan pakaian baru untuk hari raya.Tetapi bagi mereka yang sedang dalam kelazatan beribadah, dia akan merasakan hari-hari nya semakin dipenghujugan, sedih kerana terpaksa berpisah dengan Ramadhan iaitu bulan rahmat dan maghfirah.

Berapa ramai antara kita yang sedar bahawa hakikatnya kita kini berada dipusingan penentuan, sama ada kita akan dibebaskan dari api neraka atau tidak seperti yang diceritakan oleh Nabi.

Ringkasan hadis,...Telah tiba satu bulan yang mana didalam nya akan ada satu malam yang lebih baik dari pada seribu bulan. Allah telah memfardhukan berpuasa pada bulan itu. Ibadat malam nya menjadi amalan sunat. Barang siapa yang mengerjakan satu kebaikkan PADA BULAN ITU, bagaikan ia menunaikan satu amalan fardhu pada bulan lain. Barang siapa menunaikan satu kefardhuan, bagaikan ia mengerjakan 70 kali fardhu pada bulan yang lain.

Maka itu teramat rugilah jika kita masih lalai dan leka tanpa mengambil apa-apa tawaran yang diberikan oleh Allah dan membiarkan Ramadhan kali ini berlalu begitu sahaja. Ramadhan yang hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi ini tidak patut dilepaskan tanpa menambah sedikit pun koleksi amal ibadat kita kepada Allah. Jika kita sebelum ini lupa, lalai dan leka maka dipenghujung Ramadhan ini lah peluang terakhir untuk kita.

Ingatlah apa yang diceritakan tentang kata-kata malaikat Jibril, Sesiapa yang berkesempatan dapat hidup dibulan Ramadhan, tetapi tidak mengambil langsung kesempatan dan peluang yang diberikan oleh Allah dangan ibadat, maka dosanya tak diampunkan oleh Allah, dia akan mendapat laknat dari Allah,dan jauh dari rahmat Allah. Lalu Nabi mengaminkan kata-kata Jibril itu.

Apakah kita masih yakin bahawa akan tiba Ramadhan lagi untuk kita pada tahun depan? Tidakkah kita sedar bahawa ada muka-muka sahabat-sahabat, saudara-mara rakan taulan yang dulu nya satu saf dengan kita tetapi ditarawikh kali ini mereka tidak lagi berpeluang untuk beribadat, mereka sudah pun berada dialam kubur, apakah cukup amalan mereka untuk terlepas dari siksaan kubur atau neraka Allah? Bagaimana pula kita jika dicabut nyawa sebelum sempat Ramadhan tahun depan?

Tolehlah kebelakang, apakah ibadat solat kita, dua puluh hari yang lalu diterima Allah? Apakah puasa kita menepati kehendak Allah? Apakah segala-galanya diterima oleh Allah untuk dianugerahi tauliah Takwa. Seperti janji Nya- La'allakum tattakun pada akhir ayat puasa dari Al Quran itu? Apakah kita layak menagih janji Nabi "Sesiapa yang puasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan kesungguhan, Allah akan ampunkan dosa-dosanya yang lalu!"

Mungkin kerana inilah ayat berkenaan Puasa dari Al quran dan juga taskirah ini dimulakan dengan sebutan Wahai orang-orang yang beriman. Kerana hanya mereka yang beriman sahaja yang layak dan faham akan hakikat perintah ini. Tidak keterlaluan jika kita sebut dengan Ramadhan ini tersingkaplah siapa kita sebenarnya. Adakah kita ini tergolong dalam gologan orang-orang yang beriman atau kita masih tidak beriman. Hakikatnya berapa ramai orang yang berpuasa tetapi masih tidak bersolat. Kita seolah-olah lupa bahawa puasa itu perintah Allah dan solat itu juga perintah Allah, jadi adakah kita ini sedar bahawa mungkin kitalah yang dimaksudkan sebagai orang yang hanya mendapat lapar dan dahaga? Pendeknya untuk mendapat janji-janji Allah dan keampunan perlulah kita mempraktikkan kehidupan sebagai orang-orang yang beriman.

Mudah-mudahan kita tidak tergolong dalam gologan mereka yang bodoh dan rugi itu. Semoga kita tergologan dari kalangan mereka yang bahagia dan diterima amalan oleh Allah, dan bukan diantara mereka yang celaka dan tertolak amal ibadat kepada Allah.

Berdoalah seperti yang diajar "Ya Allah, kau terimalah Puasa ku, solat ku, rukok ku, sujud ku, khusuk ku, tabaruk ku, ibadat ku dan semoga semuanya tertunai segala apa yang dituntuti".

Ingatlah bahawa sepanjang Ramadhan ini pasti, kita telah meminta keredoan Allah, Surga Allah, jauhkan dari neraka dan jauhkan dari kemurkaan Nya, setidak-tidaknya kita mengaminkan semua perkara itu dalam doa imam solat tarawikh jika pun tidak kita fahami. Tidak ada pada zahir nya kita meminta rumah besar, kereta mewah, motorsikal besar atau segala perkara keduniawi tetapi apakah tindakan dan perlaksanaan harian kita menepati apa yang kita tadah itu? Logiknya, jika syurga yang diminta seharusnya kita rajin ibadat, kerap berjemaah, tidak berbohong, tetapi nyata perlakuan kita tidak menghala kearah itu. Oleh itu sedarlah setidak-tidaknya disepuluh terakhir Ramadhan ini untuk kita beramal selari dan bersesuaian dengan apa yang kita pinta.

Sudah tiba masanya kita hentikan dahulu cerita-cerita TV yang tak keharuan, sudah tiba ketika kita buang dahulu lagu-lagu yang melalaikan, sudah tiba saat kita lupakan dahulu syair-syair cinta yang memabukkan. Sebaliknya hiaskan lah rumah dengan cahaya solat, dengan alunan ayat suci dan syair puisi cinta untuk Allah. Nabi pernah berdoa dengan doa cinta seperti ini...

"Ya Allah!
aku meminta cinta Kamu,
Berilah aku cinta orang yang mencintai Kamu.
Dan aku meminta dicintakan,
pada amalan yang mendekatkan aku pada cinta Kamu".

Pada akhir Ramadhan ini seseorang islam pasti mendapat takwa jika dia berpuasa dengan ertikata puasa yang sebenar. Oleh itu tingkatkan lah amalan kita, gunakanlah "lesen" iman yang telah dikurniakan kepada kita sejak lahir demi merebut tawaran Allah pada kali ini kerana belum tentu kita akan berjumpa lagi Ramadhan seterusnya.


Ingatan untuk diri ku jua..
(Olahan kuliah subuh Ustaz Abdullah An-Nur Bangi)

WallahuA'lam

Abu Uwis Al-Raubi
tuantaip.blogspot.com

Sunday, September 14, 2008

Memasuki Pertengahan Ramadhan

"...eh, ada kunut pulak witir malam ini?" Terlintas kata-kata itu dihati seorang makmum dihujung solat witir malam tadi. "Tak sedar ya.. dah setengah bulan kita berpuasa". Mengelamun fikirannya dalam lunak suara Imam membaca lafaz-lafaz kunut. Tidak seperti kunut subuh, kunut ini tidak dipertikaikan ulamak. Walaupun kunut ini jugalah yang menjadi titik tolak pada perbahasan kunut subuh yang tidak berkesudahan itu. Apa pun ia menjadi tanda bahawa kita sekarang berada difasa seterusnya Ramadhan.

Sepuluh pertama yang dijanjikan Allah dengan Rahmat, sudah lama berlalu. Sedar atau tidak sepuluh kedua yang dijanjikan dengan pengampunan kini tiba dipenghujugan. Dapatkah seseorang itu merasakan keampunan yang diberi? PASTI...saya rasa...(ini kata-kata saya). Sebagaimana telah Allah kurnia kita dengan rahmat disepuluh pertama, begitu juga lah akan zahir pengampunan disepuluh kedua ini.

Apa rahmat nya sepuluh pertama? Banyak sekali...sedarkah kita sebelum puasa cuaca amat panas dan tak menentu? Berapa ramai antara kita yang terbatuk-batuk, ada yang sakit tekak bahana cuaca seawal masuk Ramadhan? Alhamdulillah kini semuanya seperti sedia, mungkin kerana cuaca redup bak puasa dimusim bunga. Itu sahaja cukup untuk kita melihat rahmat sang pencipta disepuluh pertama.

"Kau gambarkan lah pula tanda-tanda pengampunan wahai Allah!!" Jerit batin seorang hamba dimalam hening sewaktu manusia lain diselimuti mimpi. "Berikan satu tanda bahawa kau terima taubat ini, satu pedoman yang biar hanya aku sahaja yang tahu akan intripitasinya". Kata si hamba untuk sang Agung.

Tugas kita hanyalah untuk berdoa, bertaubat dan memohon...sedang Allah itu tidak ada kemestiaan Memaafkan kita, kata-kata yang pernah ku terima daripada seorang guru. Jadi apa guna aku munajat, apa guna aku sujud?? Sebabnya tidak lain, hanya sesungguhnya sifat memaaf itu lebih banyak pada Allah dari sifat menghukum.

"Ya Allah, siang aku berlapar, malam aku bermunajat...kenapa dineraka ini akhir tempat ku! Ya Allah....!!" harap ini bukan jeritan kita, ini bukan laungan anak isteri atau suami kita, ini bukan suara ahli-ahli keluarga kita diperut neraka nanti...kerana sedarlah diri, puasa itu hanya lapar, dahaga dan letih, bagi mereka yang tidak Shaum seperti yang dituntut oleh islam.

Daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata, Rasulullah s.a.w. berkata, "Berapa ramai orang yang berpuasa tetapi tidak mendapat apa-apa daripada puasanya kecuali lapar dan berapa ramai orang yang beribadat malam yang tidak mendapat apa-apa daripada ibadatnya kecuali berjaga malam"
(Riwayat Ibnu Majah, An-Nasai, Ibnu Khuzaimah dan lain-lain. Menurut As-Suyuthi, bertaraf sahih)

Semoga lapar, letih kita berbaloi...

Abu Uwis Al-Raubi
tuantaip.blogspot.com

Friday, September 12, 2008

Bulu bintang yang diambil tanpa membunuh.

Dibawa kepada saya akan kisah Ustaz Misnan..
"ustaz misnan menjelaskan bahawa kopiah jenis itu diperbuat daripada bulu kambing yang diimport dari Australia . semasa mereka mendapatkan bulu kambing,mereka tak sembelih pun kambing tu..just shave je bulu kambing tu hidup2.. mengikut hukum fiqh, bulu binatang yang belum disembelih jika tertanggal dari badan binatang tersebut, dianggap sebagai bangkai.. kalau bangkai, dah tentulah hukumnya jatuh najis jika di bawa bersolat..

Jawapan saya...

Adapun sebagai mengulas senario yang dipaparkan.. . Diceritakan. .."Satu ketika Nabi bertanya prihal bangkai kambing yang dibuang oleh sahabat. Sabda baginda, "Andaikata kamu ambil kulitnya, tentu lebih bagus? Para Sahabat berkata: Kambing itu bangkai. Nabi bersabda: Kulitnya itu boleh disucikan dengan air dan daun salam." - Riwayat Abu Daud, An-Nasa'i- isnad hasan.

Tafsir:- “Dan (Dia juga menjadikan bagi kamu) daripada berjenis-jenis BULU BINATANG ternakan itu, berbagai barang perkakas rumah dan perhiasan, (untuk kamu menggunakannya) hingga ke suatu masa.”(Surah AI-Nahl: 80)

Dua dalil diatas menunjukkan kuatnya pendapat bahawa bulu bintang adalah suci dan boleh diambil manfaat. Namum ulamak membahaskan apakah sama hukum nya bulu yang diambil setelah dibunuh binatang itu dengan yang dicukur, diketam atau gugur dari tubuh binatang yang masih hidup? Begitu juga pada hadis diatas menggambarkan bahawa ianya adalah dalil kepada peri laku men"yamak" kulit dan bukannya men"cuci" bulu yang akan diproses menjadi benang, kain, baju sejuk atau dalam konteks senario ini, kopiah raihan.

Oleh itu disini perlunya kita kepada ijtihad ulamak. Pendeknya termaktub dalam kitab Kifayatul Akhyar, karangan Imam Taqiyyuddin Abu Bakar (Shafie) pada awal Kitab Bersuci, membawakan dua khilaf ulamak aliran shafie. Pertama tidak najis akan rambut / bulu bintang yang ter/di-cabut. Manakala yang kedua mengatakan najis.

Adapun kaedah mengetam, menenun untuk dimanfaatkan bulu bintang ini adalah berkembang dengan berkembangnya perindustrian, iaitu selari dengan kemodenan. Hatta setiap perkara baru itu perlu ditimbang dengan neraca hukum yang lima oleh ulamak sezaman.

Begitulah juga dengan masalah ini, maka tanpa ragu, fatwa telah pun diberi dan hukum telah dikeluarkan. Berkata Imam Nawawi Rahimahullah dalam AI-Minhâj:"Dan bahagian yang terpisah daripada binatang yang masih hidup, hukumnya adalah sama seperti bangkainya, kecuali bulu binatang yang harus dimakan, maka hukumnya bersih."

Ketika mengulas pendapat Imam Nawawi ini, Imam Al-Syarbini menyebutkan bahawa bersih atau sucinya bulu berkenaan adalah dengan ijmak ulama, sama ada bulu itu dicabut, ataupun tercabut dengan sendirinya. Selari dengan Firman Allah di Surah Al-Nahl ayat 80 diatas. Kata beliau “Ayat ini mengandaikan bahawa bulu-bulu itu diambil selepas penyembelihan binatang itu atau diambil semasa ianya masih hidup sebagaimana yang dapat difahami.”

Pun begitu, perlu diterangkan disini bahawa, bulu yang melekat pada bahagian yang terpisah atau terputus dari sesuatu bintang itu tetap najis. Contoh, seekor kambing yang terputus kakinya, maka bulu yang ada pada kaki yang terputus itu dikira najis sebagaimana kaki itu juga dikira bangkai dan haram dimakan.

Berkata Syeikh Yusuf Al-Ardabili dalam AI-Anwâr:“Di antara yang suci itu ialah bulu yang terpisah daripada manusia, daripada binatang yang halal dimakan, termasuk bulunya walaupun kasar dan keras….” (Al-Anwâr 1/117).---(Nota: Ini kali pertama saya mendengar nama dan kitab beliau.- Abu Uwis)

Oleh yang demikian bulu binatang yang halal dimakan yang diambil semasa binatang itu masih hidup, bulunya boleh dijadikan pakaian dan lain-lain kegunaan.Menyentuh masalah bulu kucing dan lain-lain, hatta tahi cicak atau burung. Telah terlahir istilah Ummul Balwa dalam hukum fikh. Ianya merangkumi benda-benda remeh tetapi najis yang kadang kala tidak mampu kita elakkan. Contoh dirumah arwah guru quran saya yang pertama terdapat terrrrramat banyak kucing. Maka tidak dapat tidak, selalunya bulu kucing ini akan melekat pada tapak kaki kita, baju kita, malah di tempat sujud pun ada bulu kucing, maka disini jatuhlah hukum Ummul Balwa, ianya najis tetapi tidak sampai merosakkan ibadah atau solat kita. Begitu juga di Mekah, musim banyak burung merpati, sering kita terpijak bulu mahupun najis nya, maka ianya dimaafkan dibawah istilah ummul balwa.

Akhir sekali, berkenaan asal mula pencerita senario ini, mungkin ini lah yang digambarkan oleh Nabi bahawa akhir zaman nanti ilmu akan diangkat sedikit demi sedikit. Begitu jugalah bandingan akan seorang yang berilmu itu lebih baik dari seribu orang abid (ahli ibadat). Sedangkan secara pribadi saya rasa dan saya mengharapkan ianya adalah rekaan penulis yang kurang mahir hukum fikh semata-mata, kerana jika ianya kisah benar, maka begitu parahlah masyarakat kita hari ini.

Oleh itu cari dan dampingilah tok-tok guru yang tidak kedekut dalil apabila berkata. Kita semua sedar bahawa beramal tanpa ilmu itu sia-sia dan amalan dalam islam itu perlu kepada ilmu yang authentic bukan sekadar berlandaskan kata-kata mulut dan berdalilkan "saya rasa".

Semoga kita mampu mengenal yang mana tok guru dan yang mana tok garu.

WallhuA'lam
Abu Uwis Al-Raubi

Friday, September 5, 2008

Mimpi ketuanan MELAYU

Tun ku, bersuara lagi..

Berikut ialah tulisan penuh Dr Mahathir :
"Pohon Maaf"
1. Baru-baru ini Kerajaan dan Timbalan Perdana Menteri serta Menteri-Menteri sibuk memohon maaf kepada orang Cina dan India kerana apa yang dikatakan kata-kata yang dianggap sebagai terlalu perkauman (racist) yang telah disebut oleh beberapa pemimpin Melayu.

2. Sebenarnya orang Melayu sekarang amat takut jika mereka diberi label "racist". Mereka menulis dalam akhbar yang orang Melayu bukan racist. Demikianlah ketakutan mereka sehingga apabila hak mereka di buruk-burukan dan diserang, mereka tidak berani mempertahankan diri mereka.

3. Malang bagi TPM dan Kerajaan Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi setelah memohon maaf secara terbuka permohonan maaf daripada pemimpin tertinggi Umno ditolak oleh pemimpin-pemimpin kaum berkenaan. Mereka menuntut supaya orang yang perkatakan perkataan yang dilabel "racist" sendiri memohon maaf.

4. Satu lagi peristiwa yang memalukan ialah apabila Kerajaan hantar seorang Menteri untuk minta maaf daripada Kerajaan Cina kerana kononnya wanita rakyat negara Cina telah ditelanjang oleh polis dan ini direkod dalam video.

5. Kemudian didapati wanita itu bukan rakyat negara Cina dan bukan pun Cina Malaysia. Dia adalah seorang perempuan Melayu.

6. Sebaliknya, apabila orang yang bukan Melayu mengeluar perkataan atau catitan yang boleh ditafsir sebagai racist, orang Melayu tidak pernah tuntut supaya pihak berkuasa memohon maaf.

7. Dalam Memo Hindraf ke Perdana Menteri UK banyak perkataan yang terlampau dan racist terdapat didalamnya. Contoh: a) Kerajaan dikatakan dibantu oleh "Islamic Extremist violent armed terrorists" (orang Melayu) b) Mereka berkata Kerajaan Malaysia melakukan "Ethnic Cleansing" iaitu Kerajaan sedang membunuh dan menghapuskan orang Tamil. c) 100 orang keturunan India "ditetak dan dibunuh oleh Kerajaan yang dikuasai oleh UMNO." Perbuatan ini kononnya adalah "mini genocide" (pembunuhan beramai-ramai mini) d) Tiap tiga minggu kuil Hindu diroboh. e) Kerajaan yang kononnya dikuasai oleh UMNO telah lancar serangan bersenjata dengan 600 anggota polis, polis simpanan, pelampau Islam dan pengganas (terrorist) bersenjata (orang Melayu). f) Pegawai Bandaraya dan Polis dikatakan membaling batu dan menyerang orang Hindu dengan pisau, kayu dan batang besi. Kononya 20 orang Hindu mengalami cedera parah.

8. Tulisan dalam memo Hindraf ini bukan sahaja racist tetapi juga "seditious" (hasutan).

9. Seorang penuntut universiti Wee Meng Chee telah perlekehkan Negaraku dengan mengguna lagu Negaraku tetapi dengan lirik yang mempermainkan sembahyang dan azan orang Melayu (Islam). Azan dijadikan duet lagu cinta.

10. Apakah mereka dikehendaki memohon maaf? Apakah pemimpin mereka dikehendaki memohon maaf? Jauh sekali. Sebenarnya Wee dipertahan oleh pemimpin-pemimpin parti Cina dan anggota Hindraf dibebaskan daripada tahanan dan ada yang dengan bebasnya bertanding dalam pilihanraya dan menang menjadi wakil rakyat.

11. Mereka menuntut supaya tidak ada diskriminasi oleh Kerajaan. Tetapi nampaknya mereka bukan sahaja bebas malah mendapat kehormatan dengan dipanggil "Yang Berhormat" setelah berkata perkataan yang amat keterlaluan bahkan merupa hasutan.

12. Soalnya kenapakah Kerajaan berat sebelah, menyembunyi kata-kata racist Hindraf tetapi melapur dengan meluas apa yang dikatakan oleh pemimpin Melayu. Kenapakah Menteri keturunan India atau ketua-ketua kaum India tidak dikehendaki memohon maaf?

13. Sesungguhnya keadaan hubungan antara kaum bukan lebih baik hasil PRU 2008, tetapi ia menjadi amat buruk. Mungkin saya dituduh sebagai menyumbang kepada keadaan melalui tulisan saya. Tetapi pada saya amatlah tidak adil jika satu pihak dapat kebebasan sedangkan pihak yang ditohmah tidak boleh buka mulut. - 4/9/2008

Kata ku, melayu kan pelembut, mudah lupa dan setiasa dalam delima. Dari segi lain, sungguh tinggi budi melayu ini, cepat mengalah dan tidak suka menggunakan veto walau dia berhak, mampu dan benar.
Bukan ke Tun juga yang membentuk mereka selama 30 tahun lebih...?

Thursday, September 4, 2008

Nilai zakat Fitrah

Ditanya kenapa nilai zakat fitrah itu berbeza-beza antara negeri? Ada yang kata nampaknya macam ada negeri-negeri yang "slack" infation naik, sebab tu harga zakat naik.

Ini hujah ku...

Assalamualaikum..

Pertama sekali, terima kasih atas info ini. Sekali pandang memang boleh disangsikan, dan lumrahlah pulak jika yang "pelik" itu kena kepada negeri tertentu, mesti akan diapi-apikan lagi.

Adapun kadar zakat fitrah ini pada asalnya bersandarkan kepada Hadis:-
Diriwayatkan dari Ibnu Umar t.ia berkata : Rasulullah telah mewajibkan zakat fithrah dari bulan Ramadhan satu sha' dari kurma, atau satu sha' dari sya'iir. atas seorang hamba, seorang merdeka, laki-laki, wanita, anak kecil dan orang dewasa dari kaum muslilmin. (H.R : Al-Bukhary dan Muslim)

Satu Sha' kira-kira Satu Gantang.

Berdasarkan hadis tersebut maka para ulamak mentafsirkan bahawa:-
Nilai zakat fitrah ditetapkan oleh pemerintah agama (Ulul Amri) setiap negeri berdasarkan harga segantang beras (2.6 kg) /makanan ruji. Harga disini adalah berdasarkan pendapat mazhab Hanafi, sedangkan As-Shafie masih menetapkan bahawa yang perlu dikeluarkan adalah makanan itu sendiri bukan nilainya, bersesuaian dengan zahir hadis.

Jika dikira 1 cupak adalah 675 gram, maka 1 gantang adalah 2.7 Kg. Ambillah 2.7kg untuk lebih selamt dan jika lebih dikira sedekah.
Tidak perlulah kita hairankan tentang perbezaan nilai ini, kerana jika dihalusi, kita lihat kenapa Terengganu mempunyai julat nilai antara RM6 ke RM8 sedangkan nilai pada negeri lain adalah satu nilai sahaja. Begitu juga di Indonesia, seperti di Samarinda nilai zakat fitrahnya adalah Rps 12,000, Rps 15,000 dan Rps 20,000. Ini adalah bergantung kepada jenis beras seseorang individu atau kelompok itu makan. Dari logik nya tak kan penduduk Taman Tun atau Country Heights makan beras jenis sama dengan apa yang dimakan oleh penduduk kawasan daif?

Apa yang dapat kita perhatikan, tak seperti penduduk negeri lain, ramai warga Kelatan suka makan atau menjadikan beras siam sebagai makanan asasi. Harga beras siam ori ini pula tidak lah murah, dahulu rata-rata beras jenis ini adalah berharga RM3.5 lebih se kilogram(sekarang mungkin lebih tinggi). Beras jenis ini, jika dibeli di negeri sebelah selatan, mungkin boleh mencecah RM5 atau lebih sekilogram, oleh itu orang disebelah sini tidak mampu atau lebih berminat memakan beras lebih murah.

Maka itu bersesuaian dengan hadis tadi, jika nilai makanan ruji itu tinggi, maka tinggilah juga nilai zakat fitrah disitu. Sebagai contoh di Terengganu atau Samarinda, jika seorang itu sentiasa memakan beras mahal, dia sepatutnya mengeluarkan zakat fitrah nya berdasarkan nilai beras mahal, tidak sah jika dia hanya mengeluarakan zakat fitrah mengikut kadar beras murah. Pendeknya begini, jika hendak terlalu berkira, belilah 2.7kg jenis beras yang biasa anda guna, dan berikan lah kepada amil sebagai zakat fitrah, itu adalah lebih tepat dengan hadis.

Untuk negeri-negeri yang mempunyai hanya satu nilai zakat, ianya adalah satu anggaran harga purata beras yang ada, sebagai contoh saya biasa menggunakan beras biasa tempatan berharga RM2.80 se kilo. Darab 2.7, jawabnya RM7.56 maka jika nilai zakat fitrah dikeluarkan lebih sedikit dari itu, maka ianya tidak sah kerana tidak cukup nilai segantang!!

Mungkin ada yang berkata di Kelantan bukan semua orang kaya, nah ini contoh termudah, katakanlah di setiap negeri Kelantan hanya ada 5 orang penduduk, 3 orang guna beras siam, tentu harga beras siam diguna pakai. Di KL pula ada 10 orang dan 4 orang guna beras mahal, tentu nilai beras yang dikira adalah yang lebih murah.

Fikirkanlah dengan rasional, adakah nilai zakat fitrah sesetengah negeri itu cukup? Ingat dalam soal ini, biar lebih jangan kurang dan hitungan Allah adalah lebih tepat.

Pihak media sepatutnya menjelaskan kenapa ada perbezaan ini dan apakah hakikat disebalik harga nilai zakat fitrah, bukan menjadikan ia sebagai sentimen. Apa pun hanya Allah yang mengetahui tujuan sebenar tulisan mereka.

WallhuA'lam

Nota diri tuan taip

Wednesday, September 3, 2008

Laknat Nabi kepada tiga gologan.
1. Manusia yang tidak mendapat keampunan Allah sesudah bertemu Ramadhan.
2. Manusia yang tidak berselawat kepada Nabi.
3. Manusia yang tidak berkhidmat kepada kedua orang tua.

DALIL:-

Daripada Ka'ab Bin Ujrah r.a., beliau berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, "Hadirlah ke mimbar." Maka kami semua pun hadir.
Apabila Nabi naik satu anak tangga mimbar, baginda berkata, "amin" dan apabila naik anak tangga yang kedua, baginda berkata "amin" dan apabila baginda naik anak tangga yang ketiga baginda berkata "amin."
Apabila baginda turun, kami telah bertanya, "Ya Rasulullah! Hari ini sesungguhnya kami telah mendengar dari Tuan sesuatu yang belum pernah kami dengar."
Beliau bersabda, "Sesungguhnya Jibril telah muncul kepadaku dan berkata : Binasalah dia yang mendapati Ramadhan tetapi belum juga diampunkan. Maka aku berkata, amin."
"Apabila aku naik anak tangga yang kedua dia berkata : Binasalah dia yang apabila engkau disebutkan didepannya, tidak pula dia berselawat. Maka aku berkata, amin."
"Apabila aku naik anak tangga yang ketiga dia berkata : Binasalah dia yang mendapati kedua-dua ibu bapanya atau salah seorang darinya telah tua tetapi mereka tidak menjadi sebab untuk dia masuk ke dalam syurga. Aku berkata "amin."

(Riwayat Hakim dan Ibnu Hibban di dalam sahihnya)

Untuk catitan Tuan Taip

Monday, September 1, 2008

Ramadhan Datang Lagi

Assalamualaikum..

Ramadahan yang tiba kali ini seakan terlalu mendadak, apapun apakah ada dikalagan kita yang sebenar-benarnya setia menunggu kedatanan bulan keramat ini. Lumrah yang kita dengar sejak sebulan dua yang lalu adalah, bila nak beli baju, bila nak tempah baju sedondong tak kurang juga telah mula mengambil order kuih raya. Inikah tanda nya orang yang rindu pada Ramadhan?

Tiba-tiba kita berpuasa. Kerana apa kita berpuasa? Sebab telah menjadi ketetapankah atau sebab mengikut keadaan sekeliling? Terjadi pada tahun ini 31hb Ogos bersamaan dengan 29hb Syaaban, apa signifikan nya tarikh itu? Sedang telah diperkatakan orang akan 1 Ramadhan itu jatuh pada 1hb September sejak awal tahun lagi. Ingatkah kita bahawa 31hb Ogos itu tarikh melihat anak bulan, sedangan kan jika tidak kelihatan maka menjadilah Syaaban itu 30 hari. Maka ! Ramadhan adalah pada Selasa 2hb September. Tak ramai yang peka dan tak ramai yang kisah akan hal ini, tetapi jika begitu kisahnya apakah boleh kita berpuasa Ramadhan pada 1hb September, hari syak? Jawapan pendek...kita berpuasa kerana Ulul Amri berkata begitu. Bagaimana pula jika kita berada sendirian dinegara asing...(wah, tak semudah itu rupanyakan).

Ditafsirkan ulamak, bahawa terdapat tiga tingkatan orang berpuasa. Puasa orang awam, puasa orang khusus dan puasa khusus orang khusus. Setelah sekian lama kita berpuasa, semestinya kita telah mampu untuk menjalankan kategori puasa tingkat pertama. Semua orang tahu bahawa ianya adalah sekadar menahan dari makan, minum dan jima' atau perkara-perkara lain yang membatalkannya pada waktu yang ditetapkan.

Mengapa tidak kita pada tahun ini berusaha untuk mencapai tingakatan kedua, setidak-tidaknya, kerana tingkatan ketiga adalah khusus untuk para nabi-nabi, shiddiqin, dan muqarrabin.

Imam Al Ghazali menjelaskan enam hal untuk mencapai kesempurnaan puasa tingkatan kedua itu.

Pertama, menahan pandangan dari segala hal yang dicela dan dimakruhkan serta dari tiap-tiap yang membimbangkan dan melalaikan dari mengingat Allah. Rasulullah SAW bersabda: Barang siapa meninggalkan pandangan karena takut kepada Allah, niscaya Allah menganugerahkan padanya keimanan yang mendatangkan kemanisan dalam hatinya. Oleh itu sebagai praktikal kita "orang bandar" kurangkanlah masa berada ditempat-tempat yang banyak unsur-unsur menjolok mata dan dapat mendatangkan fitnah, seperti di pusat-pusat beli belah, pasar-pasar, kelab-kelab atau saja gym yang kononya bertujuan kesihatan tetapi boleh mengurangkan pahala puasa jika tidak pada kita mungkin pada orang yang melihat kita. Sebaiknya waktu terluang, gunakanlah untuk membaca ayat-ayat Allah yang tertulis pada alam atau pada kalam.

Kedua menjaga lidah dari perkataan yang sia-sia, berdusta, mengumpat, berkata keji, dan mengharuskan berdiam diri, menggunakan waktu untuk berzikir kepada Allah serta membaca Alquran. "Dua perkara merusakkan puasa," sabda Rasulullah SAW, "Yaitu mengumpat dan berbohong." Sekali lagi, untuk kita, berkatalah jika perlu, sedangkan berdiam diri adalah lebih baik.

Ketiga, menjaga pendengaran dari mendengar kata-kata yang tidak baik, karena tiap-tiap yang haram diucapkan maka haram pula mendengarnya. Rasulullah SAW menjelaskan: Yang mengumpat dan yang mendengar, berserikat dalam dosa.

Keempat, mencegah anggota-anggota tubuh yang lain dari perbuatan dosa. Seperti mencegah tangan dan kaki dari berbuat maksiat dan mungkar, mencegah perut dari memakan yang syubhat dan haram.

Kelima, tidak berlebih-lebihan dalam berbuka sampai perut penuh makanan. Orang yang berbuka secara berlebihan tentu tidak akan dapat memetik manfaat dan hikmah puasa. Bagaimana dia berusaha mengalahkan musuh Allah dan mengendalikan hawa nafsunya, jika saat berbuka dia justru memanjakan nafsunya dengan makanan yang terhitung banyak dan jenisnya. Hentikanlah budaya Pasar Ramadhan, sebaiknya belilah satu juadah jika perlu untuk setiap hari, Ramadhan itu 29 atau 30 hari, tentu kita mampu merasakan 29 atau 30 juadah dengan lebih nikmat jika kita amalkan satu juadah, satu hari...JIKA PERLU!

Keenam, hatinya senantiasa diliputi perasaan cemas (khauf) dan harap (raja'), karena tidak diketahui apakah puasanya diterima atau tidak oleh Allah. Rasa cemas diperlukan untuk meningkatkan kualiti puasa yang telah dilakukan, sedangkan penuh harap berperanan dalam menumbuhkan optimisme.

Demikian taskirah untuk diri yang menulis semoga dapat manfaat dan tersampai kepada berapa banyak mata yang sudi melihat, hati yang sudi menerima, akal yang mahu berfikir...semoga Ramadhan kali ini ada bezanya dengan yang dahulu.

WallhuA'lam.

Tuan Taip