Friday, September 12, 2008

Bulu bintang yang diambil tanpa membunuh.

Dibawa kepada saya akan kisah Ustaz Misnan..
"ustaz misnan menjelaskan bahawa kopiah jenis itu diperbuat daripada bulu kambing yang diimport dari Australia . semasa mereka mendapatkan bulu kambing,mereka tak sembelih pun kambing tu..just shave je bulu kambing tu hidup2.. mengikut hukum fiqh, bulu binatang yang belum disembelih jika tertanggal dari badan binatang tersebut, dianggap sebagai bangkai.. kalau bangkai, dah tentulah hukumnya jatuh najis jika di bawa bersolat..

Jawapan saya...

Adapun sebagai mengulas senario yang dipaparkan.. . Diceritakan. .."Satu ketika Nabi bertanya prihal bangkai kambing yang dibuang oleh sahabat. Sabda baginda, "Andaikata kamu ambil kulitnya, tentu lebih bagus? Para Sahabat berkata: Kambing itu bangkai. Nabi bersabda: Kulitnya itu boleh disucikan dengan air dan daun salam." - Riwayat Abu Daud, An-Nasa'i- isnad hasan.

Tafsir:- “Dan (Dia juga menjadikan bagi kamu) daripada berjenis-jenis BULU BINATANG ternakan itu, berbagai barang perkakas rumah dan perhiasan, (untuk kamu menggunakannya) hingga ke suatu masa.”(Surah AI-Nahl: 80)

Dua dalil diatas menunjukkan kuatnya pendapat bahawa bulu bintang adalah suci dan boleh diambil manfaat. Namum ulamak membahaskan apakah sama hukum nya bulu yang diambil setelah dibunuh binatang itu dengan yang dicukur, diketam atau gugur dari tubuh binatang yang masih hidup? Begitu juga pada hadis diatas menggambarkan bahawa ianya adalah dalil kepada peri laku men"yamak" kulit dan bukannya men"cuci" bulu yang akan diproses menjadi benang, kain, baju sejuk atau dalam konteks senario ini, kopiah raihan.

Oleh itu disini perlunya kita kepada ijtihad ulamak. Pendeknya termaktub dalam kitab Kifayatul Akhyar, karangan Imam Taqiyyuddin Abu Bakar (Shafie) pada awal Kitab Bersuci, membawakan dua khilaf ulamak aliran shafie. Pertama tidak najis akan rambut / bulu bintang yang ter/di-cabut. Manakala yang kedua mengatakan najis.

Adapun kaedah mengetam, menenun untuk dimanfaatkan bulu bintang ini adalah berkembang dengan berkembangnya perindustrian, iaitu selari dengan kemodenan. Hatta setiap perkara baru itu perlu ditimbang dengan neraca hukum yang lima oleh ulamak sezaman.

Begitulah juga dengan masalah ini, maka tanpa ragu, fatwa telah pun diberi dan hukum telah dikeluarkan. Berkata Imam Nawawi Rahimahullah dalam AI-Minhâj:"Dan bahagian yang terpisah daripada binatang yang masih hidup, hukumnya adalah sama seperti bangkainya, kecuali bulu binatang yang harus dimakan, maka hukumnya bersih."

Ketika mengulas pendapat Imam Nawawi ini, Imam Al-Syarbini menyebutkan bahawa bersih atau sucinya bulu berkenaan adalah dengan ijmak ulama, sama ada bulu itu dicabut, ataupun tercabut dengan sendirinya. Selari dengan Firman Allah di Surah Al-Nahl ayat 80 diatas. Kata beliau “Ayat ini mengandaikan bahawa bulu-bulu itu diambil selepas penyembelihan binatang itu atau diambil semasa ianya masih hidup sebagaimana yang dapat difahami.”

Pun begitu, perlu diterangkan disini bahawa, bulu yang melekat pada bahagian yang terpisah atau terputus dari sesuatu bintang itu tetap najis. Contoh, seekor kambing yang terputus kakinya, maka bulu yang ada pada kaki yang terputus itu dikira najis sebagaimana kaki itu juga dikira bangkai dan haram dimakan.

Berkata Syeikh Yusuf Al-Ardabili dalam AI-Anwâr:“Di antara yang suci itu ialah bulu yang terpisah daripada manusia, daripada binatang yang halal dimakan, termasuk bulunya walaupun kasar dan keras….” (Al-Anwâr 1/117).---(Nota: Ini kali pertama saya mendengar nama dan kitab beliau.- Abu Uwis)

Oleh yang demikian bulu binatang yang halal dimakan yang diambil semasa binatang itu masih hidup, bulunya boleh dijadikan pakaian dan lain-lain kegunaan.Menyentuh masalah bulu kucing dan lain-lain, hatta tahi cicak atau burung. Telah terlahir istilah Ummul Balwa dalam hukum fikh. Ianya merangkumi benda-benda remeh tetapi najis yang kadang kala tidak mampu kita elakkan. Contoh dirumah arwah guru quran saya yang pertama terdapat terrrrramat banyak kucing. Maka tidak dapat tidak, selalunya bulu kucing ini akan melekat pada tapak kaki kita, baju kita, malah di tempat sujud pun ada bulu kucing, maka disini jatuhlah hukum Ummul Balwa, ianya najis tetapi tidak sampai merosakkan ibadah atau solat kita. Begitu juga di Mekah, musim banyak burung merpati, sering kita terpijak bulu mahupun najis nya, maka ianya dimaafkan dibawah istilah ummul balwa.

Akhir sekali, berkenaan asal mula pencerita senario ini, mungkin ini lah yang digambarkan oleh Nabi bahawa akhir zaman nanti ilmu akan diangkat sedikit demi sedikit. Begitu jugalah bandingan akan seorang yang berilmu itu lebih baik dari seribu orang abid (ahli ibadat). Sedangkan secara pribadi saya rasa dan saya mengharapkan ianya adalah rekaan penulis yang kurang mahir hukum fikh semata-mata, kerana jika ianya kisah benar, maka begitu parahlah masyarakat kita hari ini.

Oleh itu cari dan dampingilah tok-tok guru yang tidak kedekut dalil apabila berkata. Kita semua sedar bahawa beramal tanpa ilmu itu sia-sia dan amalan dalam islam itu perlu kepada ilmu yang authentic bukan sekadar berlandaskan kata-kata mulut dan berdalilkan "saya rasa".

Semoga kita mampu mengenal yang mana tok guru dan yang mana tok garu.

WallhuA'lam
Abu Uwis Al-Raubi

No comments: